Oleh Fatin Sajidah Fathuldin
JOHOR BAHRU – Pendedahan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim berhubung pengalaman beliau dalam politik membuka ruang kepada rakyat menilai budaya politik yang diamalkan pihak tertentu.
Ketua Penerangan UMNO Selangor, Mohd Zaidi Md Zain berkata Marina bukan pemimpin UMNO atau Perikatan Nasional, sebaliknya bekas wakil rakyat DAP yang pernah berada dalam sistem kepimpinan parti itu, justeru pandangannya wajar diberi perhatian.
“Apabila seorang bekas wakil rakyat DAP sendiri tampil menceritakan bagaimana persepsi pengundi diurus, bagaimana sesuatu isu dinilai berdasarkan kesan politiknya dan bagaimana sentimen rakyat dipertimbangkan mengikut keperluan semasa, maka rakyat berhak bertanya sama ada inilah budaya politik yang sebenarnya diamalkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Zaidi turut mempersoalkan dakwaan bahawa UMNO sering menggunakan isu membabitkan Najib Razak sebagai modal politik, sedangkan berdasarkan tulisan Marina, timbul persoalan sama ada terdapat pihak lain yang memperalatkan isu sama mengikut musim dan keperluan politik mereka.
“Jika benar isu tersebut melibatkan prinsip yang tidak boleh dikompromi, mengapa pendirian itu tidak diterjemahkan secara konsisten sejak awal? Mengapa hanya apabila suasana politik berubah dan pilihan raya semakin hampir, isu yang sama kembali dijadikan senjata politik?” soalnya.
Beliau berkata, rakyat kini semakin matang untuk membezakan antara perjuangan berasaskan prinsip sebenar dengan pendirian yang berubah mengikut kepentingan politik.
“Yang perlu menjawab persoalan ini bukan UMNO. Yang perlu menjawab ialah mereka yang selama ini mendakwa merekalah juara prinsip dan integriti politik,” tegasnya.
Beliau juga menambah bahawa rakyat Johor lebih mengutamakan kejujuran, kestabilan dan keupayaan sesebuah parti mentadbir negeri berbanding polemik politik yang berulang setiap kali menjelang pilihan raya.
Fatin Sajidah Fathuldin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di Nasional Daily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L