ALOR SETAR – Seorang wanita cedera parah di leher dipercayai ditikam seorang lelaki yang dikenalinya dalam kejadian di hadapan sebuah restoran di Jalan Titi Gajah, dekat sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Syed Basri Syed Ali berkata, dalam kejadian jam 9.19 malam itu, mangsa yang berusia 35 tahun ditikam di bahagian leher kanan oleh suspek berusia 32 tahun dalam kereta jenis Mazda milik mangsa.
“Semasa kejadian, mangsa berada di tempat duduk pemandu, manakala suspek di tempat duduk penumpang hadapan. Selepas menikam mangsa, suspek telah melarikan diri dari lokasi kejadian dan usaha memburu suspek terus dijalankan.
“Mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, di sini dan setakat ini dia dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya pada sidang media di sini tengah malam tadi.
Beliau berkata, mangsa dan suspek dipercayai saling mengenali kerana menaiki kenderaan yang sama dan masing-masing bekerja sebagai ejen hartanah, namun sejauh mana hubungan mereka belum dapat dipastikan.
Katanya, polis sedang mengesan senjata yang digunakan dalam kejadian itu dan motif kejadian dengan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata.
“Kita minta suspek menyerah diri kepada polis dan orang ramai yang mengenalinya juga diminta menyalurkan maklumat bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil,” katanya. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L