Oleh NurFarhana Zulkeply
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan bantahan keras terhadap keputusan Norway membatalkan lesen eksport bagi sistem Naval Strike Missile (NSM) dan pelancar berkaitannya kepada Malaysia.
Beliau berkata, bantahan itu disampaikan secara langsung kepada Perdana Menteri Norway, Jonas Gahr Støre, menerusi perbualan telefon susulan keputusan unilateral yang disifatkan tidak boleh diterima.
Menurut Anwar, Malaysia telah memenuhi semua obligasi kontrak sejak 2018 secara telus dan beritikad baik.
“Malaysia telah menghormati setiap obligasi di bawah kontrak ini sejak 2018 secara penuh dan tanpa sebarang keraguan,” katanya menerusi hantaran di laman sosial Facebook.
Beliau berkata, keputusan Norway itu bakal memberi kesan besar terhadap kesiapsiagaan operasi pertahanan negara serta program pemodenan Littoral Combat Ship (LCS).
“Ia sudah pasti membawa implikasi lebih luas terhadap keseimbangan serantau,” ujarnya lagi.
Anwar turut menegaskan kontrak yang dimeterai tidak boleh diperlakukan secara sewenang-wenangnya kerana tindakan sedemikian boleh menjejaskan keyakinan terhadap pembekal pertahanan Eropah sebagai rakan strategik.
Menurut beliau, keputusan itu menimbulkan persoalan terhadap komitmen dan kepercayaan dalam kerjasama pertahanan antarabangsa.
NurFarhana Zulkeply adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L