Eksklusif dari NurFarhana Zulkeply
NILAI – Buah nanas berpotensi diangkat sebagai buah kebangsaan Malaysia seawal Julai ini sempena penganjuran Malaysia Agriculture, Horticulture and Agrotourism Show (MAHA) yang dijadual berlangsung di MAEPS, Serdang.
Cadangan tersebut kini berada pada peringkat perbincangan oleh Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), dengan penelitian rapi sedang dilakukan bagi memastikan pelaksanaannya dapat direalisasikan secara menyeluruh serta memberi impak signifikan kepada sektor agromakanan negara.
Langkah itu dilihat selari dengan perkembangan positif industri nanas tempatan yang terus menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Ketika ini, kira-kira 17,000 hektar kawasan tanaman nanas diusahakan di seluruh negara dan keluasan tersebut disasarkan meningkat kepada 20,000 hektar menjelang tahun 2030.

Pengarah Bahagian Pengembangan dan Pembangunan Tanaman LPNM, Rosmizan Md. Yusof berkata, pengiktirafan nanas sebagai buah kebangsaan berpotensi memperkukuh lagi kedudukan industri berkenaan di peringkat domestik dan antarabangsa, selain membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada pengusaha tempatan.
Beliau menegaskan, pelaksanaan projek tanaman nanas perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak terlibat bagi memastikan hasil yang mampan, berkualiti dan berdaya saing.
“Projek ini tidak boleh dilaksanakan secara hangat-hangat tahi ayam. Kita mahu melihat komitmen jangka panjang, bukan sekadar usaha bermusim yang tidak konsisten,” katanya dalam satu mesyuarat yang diadakan pada 14 April lalu di sini.
Menurut beliau, pendekatan yang lebih tersusun dan berstrategi perlu diambil, termasuk penggunaan teknologi moden, amalan pertanian baik serta pengurusan rantaian bekalan yang efisien bagi meningkatkan produktiviti dan kualiti hasil.
Katanya lagi, kerjasama berterusan antara agensi kerajaan, pemain industri dan pengusaha amat penting dalam memastikan sektor nanas terus berkembang secara konsisten serta mampu memenuhi permintaan pasaran tempatan dan eksport.
Sekiranya cadangan tersebut direalisasikan, nanas bakal menjadi simbol baharu kepada kekuatan sektor pertanian negara, sekali gus mengangkat imej Malaysia sebagai pengeluar utama nanas berkualiti tinggi di rantau ini.
NurFarhana Zulkeply adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L