Amaran Penipuan Badal Haji Murah: Kos Sebenar Cecah Ribuan Riyal, Bukan Puluhan

KUALA LUMPUR – Orang ramai diingatkan supaya berwaspada dengan tawaran badal haji pada harga terlalu murah yang dilihat tidak munasabah, susulan peningkatan kes penipuan melibatkan perkhidmatan itu.

Persatuan Pelajar Malaysia Makkah (PPMM) menegaskan, pelajar Malaysia di Arab Saudi tidak terbabit dalam sebarang aktiviti penipuan berkaitan badal haji, sebaliknya tertakluk kepada peraturan ketat pihak berkuasa haji negara berkenaan.

Yang Dipertuanya, Muhammad Iqbal Nursalam berkata, kos sebenar untuk menunaikan haji bagi pelajar yang menetap di Makkah dianggarkan antara SAR8,000 (RM8,429) hingga SAR10,000 (RM10,536), tidak termasuk bayaran upah kepada pelaksana yang lazimnya bermula sekitar SAR3,000 (RM3,161) dan ke atas.

Menurut beliau, faktor kos sara hidup yang tinggi serta kekangan permit menjadikan tawaran badal haji pada kadar serendah SAR50 (RM52) hingga SAR100 (RM105) sebagai tidak logik.

“Pelajar Malaysia di Makkah, Jeddah dan Taif tidak mewakili mana-mana pihak dalam urusan badal haji secara terbuka, apatah lagi dalam aktiviti mencurigakan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan jumlah pelajar Malaysia di institusi pengajian sekitar Makkah adalah kecil, dengan hanya segelintir yang berpeluang memohon permit haji, yang lazimnya dibuka setiap lima tahun sekali. Bagi musim ini, hanya dua mahasiswa Malaysia di Makkah mengemukakan permohonan.

Dalam pada itu, bekas pelajar Universiti Umm al-Qura, Muhammad Asyraf Basuni, menjelaskan amalan biasa dalam kalangan pelajar Malaysia adalah tidak mengiklankan perkhidmatan badal haji secara terbuka, sebaliknya hanya membantu ahli keluarga atau kenalan terdekat.

Beliau berkongsi pengalaman melaksanakan badal haji pada 2021 dengan kos pakej sekitar SAR16,000 (RM16,858), termasuk bayaran upah kira-kira SAR2,000 (RM2,107) selepas mengambil kira keseluruhan kos.

Menurutnya, setiap pelaksanaan badal haji perlu disertakan dokumentasi lengkap kepada waris sebagai bukti, termasuk resit, gambar dan rakaman video bagi setiap rukun haji.

Mengulas lanjut, beliau mendedahkan wujud sindiket yang mengambil kesempatan dengan menguruskan puluhan nama serentak, malah ada yang meraih keuntungan sehingga SAR200,000 dalam satu musim haji.

“Terdapat juga taktik penipuan dengan menggunakan gambar dan video lama di Arafah untuk mengaburi waris, seolah-olah ibadah telah dilaksanakan,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai disarankan supaya memilih individu yang dikenali dan dipercayai untuk melaksanakan badal haji, selain membuat semakan latar belakang jika menggunakan khidmat pihak ketiga.

Beliau turut mencadangkan agar pihak berkuasa memperhebatkan kempen kesedaran mengenai penipuan badal haji murah yang dilihat semakin berleluasa, termasuk melibatkan syarikat pelancongan yang menjadikannya sebagai sumber dana pusingan.

Berita ini diolah semula oleh Fatin Sajidah Fathuldin, pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *