Sindiket Seludup Migran Tumpas: Pegawai Imigresen Antara 10 Dicekup dalam Op ‘Toyu’

KUALA LUMPUR – Kegiatan penyeludupan migran yang dipercayai didalangi sindiket terancang terbongkar selepas operasi khas dikenali sebagai Op ‘Toyu’ menyerbu Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah, dengan penahanan 10 individu termasuk seorang pegawai kanan penguat kuasa.

Operasi berprofil tinggi itu dilakukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) hasil risikan intensif selama sebulan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas dengan kerjasama agensi berkaitan.

Serbuan bermula sekitar jam 12.50 tengah hari itu dipercayai menamatkan rangkaian penyeludupan yang aktif menggunakan pintu masuk darat negara.

Ketua Pengarah JIM, Zakaria Shaaban berkata, antara ditahan ialah individu utama sindiket termasuk seorang lelaki tempatan dan seorang warga Thailand dikenali sebagai ‘Toyu’, dipercayai bertindak sebagai ejen mengatur kemasukan warga asing secara haram.

“Turut ditahan seorang lelaki tempatan yang berperanan sebagai ‘transporter’, selain lima lelaki warga India, seorang warga Pakistan dan seorang pegawai kanan JIM yang dipercayai menjadi ‘orang dalam’ bagi melicinkan operasi sindiket,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, hasil semakan awal mendapati seorang daripada warga India yang ditahan berada dalam senarai hitam imigresen, manakala warga Pakistan menggunakan e-visa yang disyaki palsu dan individu lain pula dipercayai masuk sebagai imigran larangan tanpa dokumen sah.

Dalam serbuan itu, pihak berkuasa turut merampas pelbagai bahan bukti termasuk lima pasport India, satu pasport Pakistan, dokumen pas sempadan Malaysia-Thailand, cap keselamatan imigresen, 12 telefon bimbit serta wang tunai berjumlah INR30,000.

Selain itu, sebuah kereta jenis Nissan Sentra dan dua motosikal Honda Wave serta Honda EX5 turut disita bagi membantu siasatan.

Siasatan awal mendedahkan modus operandi sindiket yang licik, di mana warga asing, terutama dari India dibawa masuk melalui laluan darat menggunakan khidmat ‘transporter’ yang menyamar sebagai pemandu teksi.

Mereka kemudian dibantu oleh pegawai tertentu yang dipercayai menyalahgunakan kuasa dengan memberikan endorsement kemasukan walaupun tidak memenuhi syarat sah.

Sindiket itu dipercayai mengenakan bayaran sekitar RM1,000 bagi setiap individu, dengan kira-kira RM400 disalurkan kepada pegawai terlibat bagi setiap pasport.

Aktiviti haram tersebut dipercayai telah beroperasi sejak awal tahun ini dan mengakibatkan ketirisan hasil negara dianggarkan mencecah RM4.1 juta.

Dalam perkembangan berkaitan, tiga individu iaitu dua warga tempatan dan seorang warga Thailand ditahan di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM), manakala seorang lagi warga tempatan disiasat di bawah Seksyen 26J akta sama.

Lima warga India pula ditahan mengikut Seksyen 8(3) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki negara tanpa kebenaran sah, manakala warga Pakistan berdepan tindakan di bawah Seksyen 56(1)(l) akta berkenaan kerana kesalahan berkaitan dokumen.

Kesemua suspek telah dibawa ke pejabat imigresen negeri untuk siasatan lanjut. Dalam masa sama, empat lagi individu tempatan telah diberikan notis untuk hadir membantu siasatan bagi melengkapkan rangkaian bukti terhadap sindiket ini.

Pihak Jabatan Imigresen Malaysia menegaskan tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk pengkhianatan atau salah guna kuasa, termasuk melibatkan pegawai sendiri.

Tindakan tegas akan diambil bagi memastikan keselamatan sempadan dan kedaulatan negara terus terpelihara daripada ancaman jenayah rentas sempadan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *