Rodtang berdepan tindakan undang-undang ONE Championship

PROMOSI seni bela diri global, ONE Championship, mengesahkan pihaknya sedang memulakan tindakan undang-undang terhadap bekas juara dunia Muay Thai flyweight, Rodtang Jitmuangnon, berhubung dakwaan pelanggaran kontrak.

Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan, proses perundangan kini sedang berjalan di tiga negara iaitu Singapura, Jepun dan Thailand, sekali gus menandakan kes ini melibatkan bidang kuasa antarabangsa.

ONE Championship turut menegaskan komitmen mereka terhadap ketelusan kepada peminat, atlet dan rakan strategik. Pihak penganjur menjelaskan bahawa langkah undang-undang ini diambil susulan beberapa pelanggaran terhadap terma perjanjian yang telah dipersetujui sebelum ini.

Katanya, tindakan undang-undang tersebut berpunca daripada kegagalan Rodtang memenuhi komitmen kontraknya, selain kebimbangan terhadap kenyataan atau maklumat yang berpotensi menimbulkan salah faham atau dianggap berunsur fitnah.

ONE turut menegaskan bahawa mereka mengamalkan dasar tegas berkaitan integriti kontrak dan sebelum ini telah cuba menyelesaikan isu tersebut secara baik. Namun, selepas beberapa kali kegagalan memenuhi tanggungjawab yang dipersetujui, organisasi itu memilih untuk mengambil langkah lebih tegas bagi melindungi kepentingan semua pihak dalam ekosistem mereka.

Siasatan dan semakan undang-undang kini sedang dijalankan, dengan ONE bekerjasama rapat bersama pihak berkuasa di ketiga-tiga negara terlibat sepanjang proses tersebut berlangsung.

Terdahulu, Rodtang — yang dikenali sebagai antara legenda petarung Thailand menjelaskan di media sosial bahawa beliau merancang untuk hadir ke Bahagian Siasatan Jenayah di Bangkok pada 14 April serta berdepan pihak media.

Bagaimanapun, sesi tersebut kemudiannya ditangguhkan. Rodtang turut menjelaskan bahawa rundingan telah dimulakan dan dia akan memanggil semula sidang media sekiranya perbincangan antara kedua-dua pihak gagal mencapai kata sepakat.

Petarung sensasi Thailand itu, yang membina nama di pentas antarabangsa bersama ONE Championship menerusi gaya bertarung agresif dan daya tahan tinggi, kini berdepan fasa mencabar dalam kariernya ketika isu perundangan ini semakin meruncing.

Rodtang dijadualkan melawan Takeru Segawa dalam perlawanan ulangan (pertembungan terakhir menyaksikan Rodtang menang pada tahun lalu) yang sangat dinanti-nantikan untuk merebut gelaran ONE Interim Flyweight Kickboxing pada 29 April 2026, di ONE Samurai 1 di Tokyo, Jepun.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *