Oleh: Siti Khadijah Manudin
NILAI — USIM Holdings Sdn. Bhd. mempergiat pembangunan projek agro berasaskan tanaman nanas dengan sasaran peluasan sehingga 500 ekar menjelang tahun 2035.
Ketua Pegawai Operasinya, Dr. Shafaaii Musa berkata, projek akan dimulakan tahun depan melibatkan kawasan seluas 27 ekar sebagai fasa permulaan dan dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan pengurusan lebih sistematik dan mampan.
Menurut beliau, tanah milik Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mempunyai potensi besar untuk dimajukan sebagai kawasan pertanian produktif, khususnya bagi tanaman nanas yang mempunyai permintaan tinggi di pasaran.
“Anggaran awal menunjukkan sekitar 17,000 pokok nanas boleh ditanam bagi setiap ekar, namun jumlah sebenar bergantung kepada keadaan tanah dan kaedah penanaman,” katanya.
Beliau berkata, antara fokus utama projek adalah memperkukuh rantaian nilai termasuk pemprosesan hiliran, penambahbaikan sistem penggredan serta pengembangan pasaran melalui kerjasama dengan pembeli dan kontraktor.
Dalam masa sama, projek itu turut membuka peluang kepada komuniti setempat serta warga universiti untuk terlibat dalam aktiviti ekonomi berasaskan agro.
Bagaimanapun, beliau mengakui terdapat cabaran utama termasuk ancaman haiwan liar berikutan lokasi ladang yang berhampiran kawasan hutan.
“Langkah seperti pemasangan pagar sedang dilaksanakan bagi mengurangkan risiko kerosakan tanaman,” katanya.
Projek berkenaan dijangka memberi impak positif kepada pembangunan sektor agro universiti, selain memperluas peluang ekonomi kepada komuniti setempat termasuk golongan OKU.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L