TVET: Sampai Bila Mahu Terperangkap dengan Stigma?

Oleh: Dr. Kamaruzaman Md. Ali

SAMPAI bila masyarakat mahu terus melihat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pilihan kedua, malah dilabel sebagai laluan untuk golongan tertentu seperti B40?

Persepsi ini bukan sahaja lapuk, malah memberi kesan negatif kepada pembangunan negara kerana mengehadkan potensi sebenar TVET sebagai pemacu utama ekonomi.

Hakikatnya, TVET bukan laluan kedua dan bukan eksklusif kepada mana-mana golongan. TVET ialah sistem pendidikan berasaskan kemahiran yang menyediakan individu dengan kompetensi teknikal, praktikal dan profesional selari dengan keperluan industri.

Ia adalah laluan strategik yang terbuka kepada semua tanpa mengira latar belakang sosial. Stigma TVET untuk B40 perlu dihentikan. Label ini bukan sahaja merendahkan nilai kemahiran, malah menjejaskan minat penyertaan bakat terbaik negara.

Dalam ekonomi moden, industri tidak lagi menilai seseorang berdasarkan sijil semata-mata tetapi berdasarkan keupayaan melaksanakan tugas, kecekapan teknikal dan kebolehan menyelesaikan masalah sebenar di tempat kerja.

Realitinya, Malaysia tidak berdepan kekurangan graduan akademik tetapi kekurangan tenaga kerja mahir yang benar-benar kompeten. Ramai graduan universiti masih bergelut mendapatkan pekerjaan setara kelayakan, sedangkan graduan TVET lebih cepat diserap ke pasaran kerana memiliki kemahiran yang terus boleh digunakan oleh industri.

Golongan juruteknik, operator dan teknologis bukan lagi tenaga sokongan, tetapi tulang belakang kepada sektor pembuatan, automasi, tenaga dan industri strategik lain. Tanpa tenaga mahir ini, segala perancangan dan teori tidak dapat diterjemahkan kepada hasil yang nyata.

Negara maju seperti Jerman dan Switzerland telah lama mengiktiraf TVET sebagai laluan utama pembangunan modal insan. Malaysia tidak boleh terus ketinggalan hanya kerana masih terikat dengan persepsi lama yang tidak lagi relevan.

Lebih penting, dalam sektor seperti automasi, elektrik dan minyak dan gas, tenaga mahir berpengalaman mampu menjana pendapatan tinggi dan stabil, malah dalam banyak keadaan melebihi sebahagian graduan akademik.

Ini membuktikan bahawa TVET bukan sekadar laluan pekerjaan tetapi platform pembangunan kerjaya yang berdaya saing dan bernilai tinggi.

Sehubungan itu, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) memperkenalkan (R)Evolusi TVET sebagai langkah transformasi menyeluruh. (R)Evolusi TVET bukan sekadar perubahan sistem tetapi perubahan minda.

Ia merupakan usaha strategik untuk memperkukuh ekosistem pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional negara, sekali gus mengubah persepsi masyarakat dan memposisikan TVET sebagai arus perdana yang bernilai, relevan dan berimpak tinggi. Usaha ini adalah selari dengan Teras 5 Dasar TVET Negara 2030 yang menekankan pemerkasaan imej dan daya tarikan TVET sebagai pilihan utama rakyat.

Melalui (R)Evolusi TVET, bidang pendidikan kemahiran diperkasa sebagai tunjang utama dalam melahirkan tenaga mahir berdaya saing serta memacu pertumbuhan ekonomi negara. Pendekatan ini menegaskan bahawa kejayaan tidak lagi diukur melalui segulung sijil semata-mata, tetapi melalui kebolehpasaran, keupayaan menjana pendapatan dan sumbangan kepada industri.

Justeru, perubahan minda perlu berlaku secara menyeluruh. Ibu bapa perlu memahami bahawa kejayaan tidak terhad kepada laluan akademik. Pelajar perlu berani memilih laluan yang selari dengan minat dan potensi diri. Masyarakat pula perlu mengiktiraf bahawa kemahiran adalah aset paling berharga dalam ekonomi masa hadapan.

Hakikatnya, sesebuah negara tidak dibina dengan teori semata-mata tetapi melalui keupayaan untuk melaksanakan. Sudah tiba masanya TVET diangkat sebagai laluan utama bukan alternatif dalam membina masa depan negara yang lebih berdaya saing.

Ir. Ts. Dr. Kamaruzaman Md. Ali adalah Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *