SUNGAI PETANI – Polis menahan tiga individu bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang wanita diserang ketika sedang membuat siaran langsung di media sosial dalam keretanya di Bandar Laguna Merbok, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Hanyan Ramlan memaklumkan, kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 5.02 petang apabila mangsa didatangi sebuah kenderaan jenis Toyota Vellfire di hadapan sebuah rumah di kawasan berkenaan.
Menurutnya, kenderaan tersebut dinaiki empat individu yang kemudian menghampiri mangsa sebelum salah seorang suspek bertindak memukul bahagian muka, kepala dan badan mangsa hingga menyebabkan kecederaan.
“Kami menahan seorang lelaki berusia 30 tahun dan seorang wanita berusia 29 tahun untuk membantu siasatan. Kes ini kami siasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata mangsa, iaitu seorang wanita berusia 28 tahun turut ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan.
Hanyan berkata kesemua suspek ditahan tengah malam tadi di sekitar daerah itu.
Kejadian itu tular di media sosial sejak semalam yang memaparkan rakaman video seorang wanita yang sedang membuat siaran langsung menerusi platform media sosial di dalam kereta diserang serta dipukul oleh seorang wanita lain. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L