PUTRAJAYA – Bekas wartawan TV3, Jaffry Azman Dahalan yang dikenali sebagai individu lantang memperjuangkan isu alam sekitar dan kebajikan masyarakat, dilaporkan meninggal dunia di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, pagi tadi.
Pemergian Allahyarham disahkan oleh anaknya, Azali, ketika dihubungi hari ini.
Menurut Azali, bapanya yang berusia 62 tahun menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 6.45 pagi selepas mengalami serangan jantung.
“Ketika ini jenazah masih di hospital dan segala proses sedang diuruskan oleh abang. Mohon doa daripada semua agar segala urusan dipermudahkan dan arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” katanya.
Beliau berkata jenazah bapanya akan dibawa ke Surau As-Siddiq Bandar Tun Hussein Onn (BTHO), Cheras sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan BTHO.
Jaffry Azman merupakan antara wartawan berpengalaman yang pernah berkhidmat bersama TV3, khususnya dalam menerajui segmen ‘Aduan Rakyat’ bersama mendiang Datuk Karam Singh Walia.
Sepanjang kerjayanya, Allahyarham dikenali sebagai seorang pengamal media yang komited dalam menyuarakan kepentingan awam, menjadikan beliau satu figura yang dikenang dalam bidang kewartawanan tempatan. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L