KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan sumbangan kepada keluarga Allahyarham Muhammad Amirul Raziq Rosafindi yang dilaporkan meninggal dunia di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh, semalam.
Menerusi perkongsian di laman Facebook rasmi Kesultanan Pahang, sumbangan berkenaan telah disampaikan oleh Pegawai Agama Istana, Leftenan Kolonel Anuar Mohd Ehwal kepada bapa Allahyarham, Rosafindi Tambi Chik di Masjid Felda Sungai Kelamah, Gemas, Negeri Sembilan, sekitar jam 3 pagi tadi.
Baginda turut menzahirkan ucapan takziah serta rasa dukacita atas pemergian Allahyarham, selain berharap keluarga yang ditinggalkan diberikan ketabahan menghadapi ujian tersebut.
“Allahyarham merupakan anggota tentera berpangkat prebet yang berkhidmat di Kem Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Bentong, menghembuskan nafas terakhir pada 9.34 pagi, semalam selepas hampir dua minggu bertarung nyawa akibat kecederaan parah,” menurut hantaran itu.
Terdahulu, jenazah Muhammad Amirul dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Sungai Kelamah pada 4.30 pagi tadi dengan penuh istiadat ketenteraan.
Muhammad Amirul, 24, sebelum ini dilaporkan berada dalam keadaan koma dan menerima rawatan rapi di HoSHAS berikutan kecederaan parah yang dialami susulan insiden pukul di kem berkenaan pada 30 Mac lepas.
Kejadian itu dilaporkan berpunca daripada tindakan seorang anggota Pegawai Tidak Tauliah (PTT) Rendah berusia 37 tahun yang didakwa menggunakan kekerasan akibat tidak berpuas hati berhubung penugasan diarahkan. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001Whatsapp:https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L