KOTA BHARU – Pengusaha terkenal Restoran Nasi Ulam Cikgu di Kampung Kraftangan, Rahaida Abdul Hamid, 50, dilaporkan meninggal dunia selepas rebah secara tiba-tiba ketika menunaikan solat Isyak di kediamannya, malam tadi.
Menurut suaminya, Muhamad Hussin, 51, arwah secara mengejut mengalami kekejangan sebelum tidak sedarkan diri ketika mereka sekeluarga, termasuk anak bongsu, sedang menunaikan solat berjemaah.
Beliau berkata, sebelum kejadian, arwah sempat berehat di dalam bilik selepas menunaikan solat maghrib berikutan cuaca panas, namun ketika memasuki rakaat pertama solat isyak, arwah tiba-tiba rebah tanpa sebarang tanda awal.
Muhamad berkata Allahyarham dibawa ke sebuah hospital swasta sebelum disahkan meninggal dunia pada 9.30 malam.
Jenazah Rahaida dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kubur Tambak, Kampung Pasir Kota, di sini pada 10.15 pagi tadi.
Rahaida yang merupakan anak pengasas Restoran Nasi Ulam Cikgu Abdul Hamid Idris, meletak jawatan sebagai guru untuk meneruskan legasi perniagaan keluarga yang terkenal di Kelantan termasuk di Kampung Kraftangan dan Taman Tengku Anis, Pengkalan Chepa.
Allahyarham meninggalkan suami serta lima anak berusia antara 13 hingga 26 tahun. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L