JAKARTA – Gempa bumi kuat magnitud 7.4 melanda perairan timur Indonesia awal pagi ini, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).
Pusat pemantauan Amerika Syarikat (AS) itu turut mengeluarkan amaran kemungkinan berlaku ‘gelombang tsunami berbahaya’ dalam lingkungan 1,000 km dari pusat gempa, di sepanjang pesisir Indonesia, Filipina dan Malaysia.
Gempa itu, yang pada awalnya direkodkan bermagnitud 7.8, berlaku pada jam 6.48 pagi waktu tempatan di Laut Maluku, pada kedalaman 35km, lebih dalam berbanding anggaran awal 10km, berhampiran pulau kecil Ternate, menurut USGS.
Pusat gempa terletak kira-kira 120km dari Ternate di Maluku Utara, yang mempunyai penduduk melebihi 200,000 orang, menurut Reuters.
Kerajaan wilayah di beberapa bandar, termasuk Ternate dan Tidore, digesa untuk bersiap sedia memindahkan penduduk, manakala saluran berita Metro TV menyiarkan imej bangunan yang rosak.
Pusat Amaran Tsunami Pasifik berkata ombak setinggi antara 0.3 hingga 1 meter dari paras air pasang boleh melanda beberapa kawasan pantai di Indonesia.
Ia turut memberi amaran risiko ombak kurang daripada 0.3 meter melebihi paras air pasang di pesisir Guam, Jepun, Malaysia, Papua New Guinea, Filipina dan Taiwan.
Agensi Meteorologi Jepun memaklumkan Jepun mungkin mengalami ombak setinggi sehingga 0.2 meter, namun tiada kerosakan dijangka, sambil memberi amaran kemungkinan berlakunya tsunami di Lautan Pasifik.
Pusat Amaran Tsunami Pasifik yang berpangkalan di Hawaii memaklumkan gelombang tsunami berbahaya berkemungkinan berlaku dalam jarak berkenaan di sepanjang pantai negara terlibat.
Seorang wartawan AFP di Manado, wilayah Sulawesi Utara, berkata gegaran mengejutkannya dan penduduk lain di bandar itu sehingga mereka bergegas keluar dari bangunan.
“Saya terus terjaga dan keluar dari rumah. Orang ramai segera bertempiaran ke luar. Terdapat sebuah sekolah dan murid-murid turut berlari keluar,” katanya.
Beliau menambah, gegaran berlarutan ‘agak lama’ namun tidak menyaksikan ‘kerosakan besar’ setakat ini. – AGENSI
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L