Pelabuhan Strategik Iran Jadi Sasaran Terbaharu Serangan AS-Israel

Olahan Siti Khadijah Manudin

ISTANBUL – Ketegangan di Timur Tengah terus memuncak apabila satu serangan dilaporkan menyasarkan kemudahan pelabuhan di selatan Iran, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan laluan perdagangan global.

Media tempatan melaporkan serangan oleh Amerika Syarikat dan Israel itu menyasarkan pelabuhan di Bandar Abbas, sebuah bandar pesisir yang terletak di laluan strategik Selat Hormuz.

Menurut agensi berita separa rasmi Tasnim News Agency, Timbalan Gabenor Wilayah Hormozgan, Ahmad Nafisi memaklumkan bahawa Pelabuhan Shahid Haghani yang digunakan bagi tujuan penumpang dan komersial menjadi sasaran dalam serangan tersebut.

Beliau berkata, pasukan mencari dan menyelamat serta bomba telah dikerahkan ke lokasi kejadian, namun setakat ini tiada maklumat terperinci didedahkan mengenai jumlah korban atau tahap kerosakan.

Sejak 28 Februari lalu, pihak berkuasa Iran melaporkan lebih 1,340 individu terbunuh akibat siri serangan udara yang dikaitkan dengan Amerika Syarikat dan Israel.

Sebagai tindak balas, Iran dilaporkan melancarkan serangan balas menggunakan dron dan peluru berpandu ke arah Israel serta beberapa negara lain yang menempatkan aset ketenteraan Amerika.

Konflik yang semakin memuncak ini turut memberi kesan langsung kepada pasaran tenaga global serta keselamatan laluan perkapalan di Selat Hormuz, yang merupakan antara laluan terpenting bagi penghantaran minyak dunia.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *