Olahan: NurFarhana Zulkeply
KAJANG – Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang layak digalakkan memohon ke Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) di Institut Pendidikan Guru (IPG) seluruh negara bagi pengambilan tahun 2026.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, berkata permohonan masih dibuka dan akan ditutup pada Khamis ini, dengan peningkatan kuota pengambilan kepada 9,800 tempat berbanding sekitar 5,000 hingga 6,000 dalam dua tahun sebelum ini.
Menurut beliau, peningkatan tersebut bertujuan memenuhi keperluan tenaga pengajar negara yang semakin mendesak.
“Kementerian turut bekerjasama dengan Dong Zong dan Jiao Zong bagi mempromosikan peluang ini, khususnya kepada pelajar di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri pengumuman keputusan SPM 2025 di SMJK Yu Hua, di sini, hari ini.
Menurutnya, pelajar yang berjaya mengikuti program PISMP akan menjalani latihan perguruan selama lima tahun sebelum ditempatkan sebagai guru di sekolah kebangsaan serta sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil.
Antara syarat utama permohonan ialah memperoleh keputusan cemerlang dalam sekurang-kurangnya lima mata pelajaran, termasuk kepujian dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Sejarah, selain memenuhi syarat umur tidak melebihi 20 tahun pada 30 Jun 2026, sihat tubuh badan serta aktif dalam kokurikulum.
Dalam perkembangan berkaitan, Wong memaklumkan pencapaian subjek Bahasa Cina dalam SPM 2025 menunjukkan peningkatan apabila 40,888 daripada 46,046 calon berjaya memperoleh gred kepujian (A hingga C), meningkat satu peratus berbanding tahun sebelumnya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L