KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (AMANAH) memandang serius perkembangan konflik semasa antara Israel dan Iran yang semakin meruncing dan berpotensi memberi kesan besar terhadap kestabilan ekonomi global.
Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, konflik itu bukan sekadar isu geopolitik luar, tetapi mempunyai implikasi langsung terhadap ekonomi Malaysia, khususnya dari segi kenaikan harga tenaga, tekanan inflasi dan gangguan rantaian bekalan global.
“Apabila laluan strategik seperti Selat Hormuz terjejas, kesannya akan dirasai sehingga ke dapur rakyat Malaysia.
“Kos sara hidup meningkat, tekanan kepada subsidi bertambah dan ruang fiskal kerajaan menjadi semakin mencabar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau menegaskan Malaysia tidak boleh berdepan dengan cabaran ini dalam keadaan politik yang berpecah-belah. Sebaliknya, kata Dr Mujahid situasi tersebut menuntut satu pendekatan baharu berasaskan konsensus nasional merentasi parti politik.
“Ini bukan masa untuk berpolitik secara sempit. Ini adalah masa untuk semua pihak melibatkan kerajaan dan barisan pembangkang membina kesepakatan dalam isu-isu ekonomi yang menyentuh kehidupan rakyat secara langsung,” katanya.
Menurutnya, antara langkah penting yang memerlukan sokongan bipartisan termasuk:
• pengurusan inflasi dan kos sara hidup secara menyeluruh,
• reformasi subsidi secara bersasar dan berhemah,
• pengukuhan keselamatan makanan dan tenaga negara serta pemeliharaan keyakinan pelabur melalui kestabilan politik
Beliau turut menyifatkan krisis di Asia Barat sebagai satu peluang untuk mematangkan landskap politik negara melalui pendekatan Politik Rahmah dan Politik Nilai yang mengutamakan tanggungjawab bersama berbanding retorik perpecahan.
“Dalam saat dunia berdepan ketidaktentuan, kekuatan kita sebagai sebuah negara bergantung kepada keupayaan untuk bersatu.
“Konsensus nasional bukan pilihan, tetapi keperluan mendesak,” katanya.
Dr Mujahid menggesa pemimpin politik agar menurunkan suhu politik dan memberi tumpuan kepada agenda besar negara.
“Rakyat tidak mahu melihat perbalahan berterusan ketika mereka sendiri berdepan tekanan ekonomi.
“Mereka mahukan kepimpinan yang matang, bersatu dan bertanggungjawab. Inilah masa untuk kita buktikan bahawa politik boleh menjadi alat penyatuan, bukan perpecahan,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L