KUALA LUMPUR – Syarikat hartanah bersepadu, OCR Group Bhd. (OCR), memeterai Perjanjian Utama (HOA) dengan Dato’ Howard Chew Si Hoo untuk cadangan pengambilalihan 49 peratus kepentingan ekuiti dalam firma perundingan hartanah Chester Properties Sdn. Bhd. (Chester Properties).
Langkah strategik ini bertujuan membentuk ekosistem hartanah yang lebih kompetitif di Malaysia. Baki 51 peratus kepentingan Chester Properties dipegang oleh dua pemegang saham lain yang merupakan Penasihat Hartanah berlesen.
Pengambilalihan ini membawa skala operasi dan jangkauan pemasaran OCR ke tahap baharu, dengan memberi akses kepada pasukan pemasaran Chester Properties yang terdiri daripada 17 Penasihat Hartanah, 516 Perunding Hartanah dan lebih 4,000 ejen. Firma itu juga mempunyai 15 cawangan di Lembah Klang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Sarawak.
Dari sudut pelaburan, pengambilalihan 49 peratus kepentingan akan dilaksanakan melalui penerbitan saham baharu OCR pada harga RM0.041 setiap satu, sementara proses usaha wajar dijalankan dalam tempoh 60 hari dan Perjanjian Definitif diselesaikan dalam tempoh 70 hari tertakluk kepada hasil memuaskan.
Chester Properties terkenal dengan kehadirannya dalam pemasaran hartanah kediaman dan komersial, termasuk kondominium, rumah bertanah, lot kedai dan pejabat. Firma ini mempunyai rekod kukuh menghubungkan pemaju dengan rangkaian pembeli dan pelabur.
Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Chester Properties, Si Hoo berkata, pihaknya teruja kerjasama dengan OCR, yang menandakan permulaan lembaran lebih dinamik.
“Dengan menyelaraskan kepakaran pemasaran syarikat dengan portfolio pembangunan OCR, kami dapat mewujudkan proposisi nilai lebih kukuh dan kompetitif untuk pembeli rumah dan pelabur,” katanya.
Si Hoo berkata, kerjasama itu akan menginovasi cara hartanah dibawa ke pasaran dan memberi impak lebih besar kepada industri.
Bagi OCR, langkah strategik itu dijangka meningkatkan laluan pasaran, menyokong pemerolehan pembeli serta mempercepatkan pelaksanaan pembangunan masa hadapan.
Dipimpin Pengarah Urusan Kumpulan, Billy Ong Kah Hoe, OCR mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dengan Nilai Pembangunan Kasar melebihi RM2.2 bilion.
Portfolio Kumpulan merangkumi tiga segmen utama iaitu Essential Living (rumah mampu milik), Urban Living (gaya hidup moden) dan Luxury Living (kehidupan premium).
OCR juga berjaya melebarkan segmen hartanah perindustrian melalui Taman Perindustrian OCR Selayang pada 2021.
HOA ini menandakan komitmen OCR untuk memperkukuh kedudukan pasaran, meningkatkan pengedaran dan membina ekosistem berdaya tahan bagi menyokong pertumbuhan mampan dalam sektor hartanah dinamik di Malaysia.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L