KUALA LUMPUR – Kuasa beli pengguna menjelang musim perayaan Tahun Baru Cina memberi impak yang ketara kepada prestasi kewangan Guan Huat Seng Holdings Bhd. (GHS Holdings), apabila syarikat itu mencatatkan lonjakan keuntungan selepas cukai sebanyak 101.39 peratus.
Pengedar dan peruncit produk makanan serta pengeluar produk perisa yang berpangkalan di Melaka itu dalam satu kenyataan berkata, ia merekodkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM3.05 juta pada suku kedua yang berakhir pada 31 Januari 2026, meningkat daripada RM1.51 juta pada suku sebelumnya.
Peningkatan keputusan kewangan yang belum diaudit ini turut disokong oleh hasil sebanyak RM30.12 juta, meningkat 49.51 peratus berbanding RM20.14 juta sebelum ini.
Berbekalkan rekod prestasi lebih empat dekad di Melaka, GHS Holdings kini bersedia melebarkan sayap perniagaannya.
Pengarah Urusannya, Yeo Tien Ee berkata, susulan penyenaraian syarikat baru-baru ini, pihaknya menumpukan kepada pelaksanaan pelan pengembangan pasaran secara berhemat.
Katanya, langkah itu termasuk perancangan membuka kedai runcit tambahan di kawasan Lembah Klang serta Johor.
Beliau turut menekankan, pertumbuhan suku kedua yang lebih kukuh membuktikan keupayaan syarikat menangkap permintaan sambil mengekalkan disiplin operasi merentasi segmen pengedaran dan runcit.
“Inisiatif ini termasuk pembangunan kemudahan baharu (penubuhan kompleks bersepadu baharu dan kemudahan Krubong baharu) untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran dan penyimpanan kami, pelaburan berterusan dalam aktiviti pemasaran, pembukaan kedai runcit tambahan di Lembah Klang dan Johor serta pengembangan rangkaian produk kami untuk mengukuhkan kedudukan pasaran kami dan menangkap peluang pertumbuhan,” jelasnya.
Beliau berkata, inisiatif berkenaan dijangka meletakkan GHS Holdings dalam kedudukan lebih kukuh untuk melayani pelanggan dengan lebih cekap, selain meluaskan jangkauan pasaran dari semasa ke semasa.
Bagi berkongsi kejayaan ini bersama pemegang saham, Lembaga Pengarah syarikat mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak 0.25 sen bagi setiap saham biasa.
Agihan dividen itu berjumlah kira-kira RM1.18 juta, dikira berdasarkan 473,500,100 saham biasa yang diterbitkan bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2026.
Secara keseluruhan, bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Januari 2026, GHS Holdings mencatatkan pendapatan sebanyak RM50.26 juta dengan keuntungan selepas cukai bernilai RM4.56 juta.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L