MN Holdings raih kontrak RM245.4 juta bangun pusat data

KUALA LUMPUR – Pakar penyelesaian pembinaan dan kejuruteraan utiliti infrastruktur terkemuka di Malaysia, MN Holdings Bhd. (Kumpulan), mengukuhkan kedudukannya dalam arus ledakan ekonomi digital apabila berjaya memperoleh dua kontrak pembinaan stesen pendaratan pengguna (CLS) dengan nilai gabungan RM245.40 juta.

Kejayaan ini dicapai melalui anak syarikat milik penuhnya, MN Power Transmission Sdn. Bhd. (MNPTSB), yang dianugerahkan kontrak bernilai RM125.40 juta dan RM120 juta bagi membangunkan kemudahan berkenaan untuk dua pusat data berasingan di Wilayah Selatan Semenanjung Malaysia.

Skop kerja projek bernilai tinggi berkenaan melibatkan pembinaan, pembekalan, pemasangan, pengujian serta pentauliahan infrastruktur CLS berkapasiti 275 kilovolt (kV).

Ia sekali gus membuktikan keupayaan Kumpulan dalam menyokong operasi pusat data berskala besar.

Walaupun melibatkan infrastruktur kritikal yang kompleks, kedua-dua projek berkenaan dijadualkan bermula pada suku pertama 2026 dan dijangka siap pantas menjelang suku keempat 2026. Keupayaan penyiapan ini adalah selaras dengan garis masa projek masing-masing.

Selain tertumpu kepada infrastruktur digital, Kumpulan juga terus mengimbangi portfolionya sebagai pemain dwi-sektor dengan mengembangkan penglibatan dalam tenaga boleh diperbaharui.

Sepanjang bulan lalu, syarikat itu telah memperoleh dua kontrak berkaitan solar bernilai RM39.80 juta serta dua kontrak kerja peluasan pencawang daripada Tenaga Nasional Bhd. (TNB) yang bernilai RM26.58 juta.

Ini melibatkan kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan di seluruh Malaysia.

Pengarah Eksekutif MN Holdings Bhd, Datuk Dang Siong Diang menyatakan, penganugerahan kontrak terbaharu ini mencerminkan penyertaan berterusan syarikat dalam sektor infrastruktur berkaitan pusat data, terutama di Wilayah Selatan yang terus disokong oleh pelaburan berterusan.

“Selain kontrak daripada pelanggan berkaitan pusat data, kami juga terus mengambil bahagian dalam kerja-kerja tenaga boleh diperbaharui dan infrastruktur kuasa.

“Semua projek ini menunjukkan keupayaan kami dalam menyediakan infrastruktur kuasa kritikal, termasuk sistem voltan tinggi, mengikut keperluan projek,” katanya.

Siong Diang turut berkata, memandangkan permintaan untuk infrastruktur digital dan tenaga terus berkembang, syarikat melihat peluang yang lebih luas merentasi pelbagai segmen.

Kesemua kontrak diperoleh ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan Kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaan projek berkenaan.

Kejayaan meraih projek-projek ini membuktikan komitmen syarikat dalam menyampaikan penyelesaian kejuruteraan yang komprehensif bagi menyokong infrastruktur kritikal.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *