Malaysia Digesa Manfaat Status ‘Negara Bukan Musuh’ Demi Kekal Stabil Harga Minyak

SHAH ALAM – Kerajaan digesa memanfaatkan status Malaysia sebagai “negara bukan musuh” susulan laporan Iran membenarkan kapal dari negara berkenaan melalui Selat Hormuz dengan penyelarasan pihak berkuasa mereka.

Ahli Parlimen Parit, Muhammad Ismi Mat Taib berkata, kelebihan itu perlu digunakan sepenuhnya bagi memastikan rantaian bekalan tenaga dan perdagangan negara kekal lancar walaupun ketegangan geopolitik di Asia Barat semakin memuncak.

Menurut beliau, kerajaan melalui kementerian berkaitan perlu segera menyelaras urusan dengan pihak berkuasa Iran supaya kapal dagang dan kapal tangki minyak Malaysia mendapat akses keutamaan di laluan strategik tersebut.

“Dengan adanya jaminan laluan selamat ini, tidak ada alasan kukuh untuk kos logistik atau insurans meningkat secara mendadak sehingga membebankan pengguna,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menegaskan harga minyak domestik seharusnya kekal stabil memandangkan Malaysia masih mempunyai akses laluan melalui Selat Hormuz tanpa gangguan.

“Jangan biarkan spekulasi pasaran global menjejaskan harga bahan api dalam negara, sedangkan saluran bekalan kita masih terjamin,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperketat pemantauan harga barang bagi mengelakkan pihak tertentu mengambil kesempatan menaikkan harga.

Katanya, alasan peningkatan kos pengangkutan tidak seharusnya digunakan memandangkan kapal Malaysia masih dibenarkan melalui zon konflik tersebut.

Muhammad Ismi berkata, penduduk luar bandar termasuk di Parit amat terkesan dengan sebarang kenaikan harga minyak dan barangan keperluan.

“Apabila harga minyak naik, ia akan mencetuskan rantaian kenaikan harga barang yang membebankan warga tani, peniaga kecil dan golongan pekerja,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan menggunakan kelebihan status “negara bukan musuh” secara strategik bagi melindungi ekonomi domestik dan memastikan rakyat tidak terjejas akibat krisis geopolitik semasa.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *