Kerajaan Johor Nafi Dakwaan JDT Dibiayai Dana Awam

JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor menafikan dakwaan sebahagian besar sumber kewangan kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) datang daripada dana awam atau kerajaan negeri.

Menurut Menteri Besarnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi, tuduhan itu tidak tepat dan boleh mengelirukan masyarakat.

Beliau menjelaskan, rujukan kepada Majlis Sukan Negeri Johor dalam penyata kewangan kelab merupakan amalan pentadbiran biasa dalam ekosistem penajaan sukan di Malaysia.

Katanya, banyak penajaan daripada syarikat swasta disalurkan melalui Majlis Sukan bagi memastikan tadbir urus yang baik serta mendapatkan pelepasan cukai.

Onn Hafiz menegaskan, angka yang dipetik pihak tertentu tidak boleh dianggap sebagai pembiayaan langsung kerajaan terhadap operasi pasukan profesional JDT.

Beliau turut menjelaskan, sebarang geran atau sumbangan kerajaan adalah khusus untuk pembangunan sukan di peringkat akar umbi, termasuk program pembangunan belia, penganjuran kejohanan daerah serta pengukuhan ekosistem bola sepak negeri menerusi Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) dan persatuan daerah.

Dana tersebut, katanya, tidak digunakan untuk menampung operasi pasukan profesional JDT.

Kerajaan negeri berharap pihak-pihak tertentu lebih teliti dalam menyemak fakta sebelum membuat sebarang tuduhan, kerana penyebaran maklumat tidak tepat boleh mengelirukan masyarakat serta menjejaskan usaha membangunkan ekosistem sukan yang profesional di Johor.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *