KOTA BHARU – Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan kini berada pada peringkat akhir penelitian sebelum dijangka dibentangkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadual berlangsung April ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd Asri Mat Daud berkata, draf pindaan itu sedang melalui proses semakan oleh Jemaah Ulama di Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
Menurut beliau, selepas semakan itu selesai, cadangan pindaan berkenaan akan dibawa semula ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan sebelum dimuktamadkan untuk pembentangan di DUN.
“Sekiranya tiada sebarang perubahan, seperti yang dimaklumkan sebelum ini oleh Pengerusi Lajnah Undang-Undang yang juga Timbalan Menteri Besar, pindaan itu dijangka dapat dilaksanakan dalam tahun ini,” katanya selepas menghadiri Majlis Iftar Perdana bersama pengamal media di Kota Bharu semalam.
Mohd Asri menjelaskan, sebahagian besar kerja penyediaan pindaan berkenaan sebenarnya telah disiapkan sejak tahun lalu, namun beberapa aspek masih memerlukan penambahbaikan sebelum ia dimuktamadkan.
Katanya, penelitian tersebut melibatkan kajian oleh pelbagai pihak berautoriti dalam kerajaan negeri, termasuk mufti, Jemaah Ulama serta panel peguam yang dilantik.
“Perkara ini juga telah dibincangkan dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri dan satu pelan tindakan atau ‘blueprint’ akan disediakan bagi memastikan pelaksanaannya dapat berjalan dengan baik,” katanya.
Sebelum ini, Dewan Undangan Negeri Kelantan meluluskan usul untuk menggubal semula 16 kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Negeri Kelantan 2019 yang diisytiharkan batal dan tidak sah oleh Mahkamah Persekutuan Malaysia pada 9 Februari 2024.
Keputusan itu dibuat oleh panel sembilan hakim yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat, dengan majoriti 8-1 selepas membenarkan petisyen yang difailkan peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid bersama anaknya, Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L