PETALING JAYA – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menafikan laporan yang mengaitkan beliau dengan pertemuan bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Bangkok, Thailand tahun lalu.
Beliau yang juga Naib Presiden Pas menegaskan, tidak terlibat dalam sebarang pertemuan seperti yang didakwa.
“Merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh beberapa pihak tertentu, saya ingin menjelaskan, saya tidak terlibat dalam apa jua pertemuan di Bangkok.
“Sebarang pertemuan atau perbincangan yang dikaitkan dengan perkara tersebut adalah tidak melibatkan saya dan tiada kena mengena dengan saya,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Menteri Besar Terengganu itu turut berharap semua pihak tidak membuat spekulasi atau mengaitkan namanya dengan perkara yang tidak berlaku.
Terdahulu, Ahmad Zahid mengesahkan, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin adalah antara ahli politik yang ditemui beliau di Bangkok tahun lalu bagi membincangkan isu perpaduan Melayu dan Islam.
Memetik sumber daripada beberapa parti, Berita Harian sebelum ini melaporkan, Ahmad Samsuri dan Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan turut bertemu Ahmad Zahid pada ketika itu bagi membincangkan cadangan untuk menyatukan parti-parti politik Melayu dan Islam.
Menurut sumber tersebut, pertemuan berkenaan dipercayai berlangsung pada awal Disember ketika Ahmad Zahid berada di Thailand bagi menghadiri siri lawatan kerja rasmi.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L