KUALA LUMPUR –Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbincangan dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan bagi bertukar pandangan mengenai perkembangan semakin meruncing di Asia Barat susulan siri serangan yang menggugat kestabilan rantau tersebut.
Dalam perbincangan menerusi telefon itu, Anwar menzahirkan solidariti Malaysia terhadap Turkiye berikutan insiden peluru berpandu balistik yang menghala ke ruang udara negara tersebut, yang dilihat sebagai bukti rapuhnya keselamatan di rantau berkenaan ketika ini.
Menyentuh insiden pembunuhan beberapa pimpinan tertinggi Iran, termasuk Almarhum Ali Khamenei, Perdana Menteri menekankan peristiwa tersebut berisiko menjerumuskan Asia Barat ke dalam ketidaktentuan yang serius dan berpanjangan.
Kedua-dua pemimpin bersetuju semua pihak perlu menunjukkan tahap kawalan diri dan kebijaksanaan tertinggi bagi mengelakkan keadaan daripada terus meruncing.
Malaysia menyeru semua pihak supaya menurunkan ketegangan dan menghentikan serangan yang berisiko mencetuskan ketidakstabilan lebih luas melangkaui Asia Barat.
Menurut Anwar, pendekatan berteraskan dialog dan diplomasi mesti menjadi keutamaan.
Selain itu, dalam perbincangan tersebut, isu Palestin turut disentuh. Perdana Menteri menyatakan penghargaan terhadap Turkiye dan beberapa negara lain yang mengutuk keputusan Israel memperluas penempatan haram di Tebing Barat.
Malaysia menegaskan, tindakan rejim Zionis itu merupakan pencabulan undang-undang antarabangsa.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L