Dari Meja Editorial
LANDSKAP politik Malaysia sekali lagi berdepan kemungkinan kelahiran sebuah parti politik baharu apabila bekas pemimpin kanan parti Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan merancang untuk mengetuai sebuah parti yang setakat ini dinamakan Parti Keluarga Malaysia.
Perkembangan ini berlaku selepas beliau dipecat dari Parti Bersatu, sekali gus mencetuskan spekulasi satu lagi platform politik baharu bakal muncul dalam arena politik negara.
Sekiranya parti tersebut diluluskan pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM), Malaysia akan mempunyai sekurang-kurangnya 73 parti politik berdaftar.
Angka ini bukan sahaja besar bagi sebuah negara yang mempunyai kira-kira 33 juta penduduk, malah menimbulkan persoalan besar mengenai arah dan kematangan politik negara.
Fenomena penubuhan parti baharu bukan sesuatu yang asing dalam politik Malaysia. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, rakyat menyaksikan bagaimana konflik dalaman parti sering berakhir dengan kelahiran parti baharu.
Perselisihan kepimpinan, perebutan kuasa atau kekecewaan terhadap hala tuju parti sering menjadi alasan untuk meninggalkan parti asal dan menubuhkan wadah baharu.
Namun, persoalan utama ialah berapa banyak lagi parti politik yang benar-benar mampu menyatukan rakyat pelbagai kaum di negara ini?
Realitinya, tidak banyak parti yang benar-benar berjaya menjadi platform politik yang disertai oleh semua kaum secara seimbang.
Sebahagian besar parti masih berasaskan kelompok tertentu, sama ada dari segi kaum, ideologi atau pengaruh wilayah. Keadaan ini akhirnya menyumbang kepada fragmentasi politik yang semakin ketara.
Dalam suasana sedemikian, setiap kali lahirnya parti baharu, timbul persoalan sama ada ia benar-benar membawa idea segar untuk rakyat atau sekadar menjadi saluran baharu bagi pemimpin politik yang tersisih daripada parti asal.
Dalam beberapa kes, penubuhan parti baharu berlaku selepas seseorang pemimpin dipecat, diketepikan atau gagal mendapat tempat dalam struktur kepimpinan parti lama. Budaya politik seperti ini semakin jelas dalam dekad kebelakangan ini.
Jika diteliti, coraknya hampir sama iaitu dipecat dari parti – tubuh parti baharu, disingkir dari kepimpinan – tubuh parti baharu; dan tidak lagi mendapat tempat dalam parti – tubuh parti baharu.
Trend ini bukan sahaja membentuk landskap politik yang semakin berselerak, malah menimbulkan persoalan mengenai ketahanan institusi parti politik di Malaysia. Parti yang sepatutnya menjadi wadah perjuangan ideologi sering berubah menjadi platform yang bergantung kepada pengaruh individu.
Sebelum ini, antara parti yang muncul daripada gelombang penubuhan parti baharu ialah Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), yang dipimpin oleh Datuk Ibrahim Ali.
Penubuhan parti ini juga dilihat sebagai usaha membentuk platform politik sendiri selepas berlakunya pergeseran dengan parti-parti arus perdana.
Walaupun parti seperti ini menambah kepelbagaian dalam sistem demokrasi, persoalannya tetap sama, sejauh mana ia benar-benar memberi pilihan yang bermakna kepada rakyat?
Dalam banyak keadaan, parti baharu akhirnya berdepan cabaran besar untuk bertapak. Kekurangan jentera akar umbi, sumber kewangan terhad dan sokongan tidak meluas sering menyebabkan parti baharu gagal berkembang menjadi kuasa politik signifikan.
Secara teori, kewujudan banyak parti politik boleh dilihat sebagai tanda demokrasi yang subur. Rakyat mempunyai pelbagai pilihan dan suara politik boleh disalurkan melalui pelbagai platform.
Namun, dalam konteks Malaysia, terlalu banyak parti juga boleh membawa kesan sebaliknya seperti perpecahan undi dalam kalangan pengundi, politik semakin tidak stabil akibat terlalu banyak blok kecil, kesukaran membentuk kerajaan yang kukuh dan pertembungan kepentingan individu melebihi agenda nasional.
Apabila parti politik terlalu banyak, politik negara berisiko menjadi terlalu berpusat kepada individu, bukannya ideologi atau dasar yang jelas.
Jika Parti Keluarga Malaysia benar-benar didaftarkan kelak, ia akan menambah satu lagi nama dalam senarai panjang parti politik negara, tetapi persoalan lebih besar, apakah parti baharu ini mampu membawa pendekatan politik yang berbeza atau sekadar mengulangi pola lama yang pernah berlaku.
Rakyat semakin matang dalam menilai politik. Mereka bukan sahaja melihat kepada nama parti atau tokoh yang memimpinnya, tetapi juga kepada agenda, integriti dan keupayaan untuk menyatukan masyarakat majmuk.
Akhirnya, isu sebenar bukanlah berapa banyak parti politik yang wujud di Malaysia. Isu yang lebih penting ialah kualiti politik itu sendiri, sama ada ia benar-benar memperjuangkan kepentingan rakyat atau sekadar menjadi pentas baharu bagi perebutan kuasa.
Jika budaya lama berterusan, tidak mustahil selepas ini rakyat akan terus menyaksikan episod yang sama berulang:
dipecat – tubuh parti baharu.
disingkir – tubuh parti baharu.
tersisih – tubuh parti baharu.
Dan, setiap kali itu berlaku, satu lagi parti politik akan lahir dalam landskap politik Malaysia yang semakin padat. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L