Akibat serang Iran, Israel rugi RM12.8 bilion seminggu

BAITULMAQDIS – Ekonomi Israel dijangka menanggung kerugian mencecah lebih 9 bilion shekel atau AS$2.93 bilion (RM12.8 bilion) setiap minggu akibat peperangan yang sedang berlarutan dengan Iran.

Kementerian Kewangan Israel dalam kenyataan, memaklumkan anggaran kerugian besar itu berpunca daripada sekatan keselamatan tahap merah yang dikuatkuasakan oleh Komando Barisan Hadapan Israel.

Sekatan itu merangkumi larangan perjalanan ke tempat kerja, penutupan sekolah di seluruh negara serta mobilisasi besar-besaran pasukan simpanan tentera yang menjejaskan tenaga kerja.

Kementerian berkenaan kini sedang mendesak pihak keselamatan untuk menurunkan status amaran kepada tahap jingga bagi membolehkan aktiviti ekonomi terhad disambung semula.

Di bawah senario jingga, kerugian ekonomi dijangka dapat dikurangkan kepada 4.3 bilion shekel atau AS$1.4 bilion (RM5.5 bilion) seminggu.

Konflik ini tercetus selepas Israel dan Amerika Syarikat (AS) memulakan serangan bom ke atas Iran pada Sabtu lalu, yang kemudiannya mencetuskan gelombang serangan balas nekad di seluruh Israel dan rantau Asia Barat.

Serangan terbabit turut menjejaskan eksport tenaga dari Teluk, manakala pegawai AS dan Israel menjangkakan kempen ketenteraan mungkin akan berlarutan selama beberapa minggu lagi.

Sebelum konflik itu meletus, ekonomi Israel menunjukkan tanda pemulihan dengan pertumbuhan 3.1 peratus pada 2025 selepas terjejas akibat perang dengan Hamas di Gaza.

Susulan gencatan senjata pada Oktober lalu, ekonomi negara itu pada asalnya diunjurkan berkembang lebih 5 peratus pada tahun 2026, namun serangan terbaharu ini dijangka merencatkan kembali unjuran terbabit secara drastik.

Setakat minggu ini, semua sekolah di Israel kekal ditutup, perhimpunan dilarang, dan aktiviti tenaga kerja dihadkan hanya untuk perkhidmatan penting dengan sebahagian besar pekerja diarahkan bertugas dari rumah.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *