NEW YORK – Imigresen Persekutuan Amerika Syarikat (AS) menahan seorang pelajar University Columbia awal pagi semalam, dalam satu insiden yang mencetuskan protes di kampus serta perdebatan baharu mengenai taktik penguatkuasaan imigresen di universiti AS.
Menurut laporan Newsweek, beberapa jam kemudian, kerajaan mengubah keputusan dan membebaskan pelajar berkenaan selepas Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani, membangkitkan kes itu secara langsung dengan Presiden Donald Trump.
Pelajar berkenaan, Elmina Aghayeva, yang juga dikenali sebagai “Ellie”, ditahan di sebuah bangunan kediaman milik universiti.
Pihak universiti mendakwa, ejen memasuki bangunan dengan alasan palsu, namun dakwaan itu dinafikan oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS).
Menjelang tengah hari, Mamdani berkata, Trump bersetuju membebaskan Aghayeva selepas perbualan susulan satu mesyuarat di Rumah Putih yang pada asalnya membincangkan isu perumahan.
Selepas dibebaskan, Aghayeva menulis di Instagram bahawa beliau selamat tetapi berada dalam keadaan “terkejut sepenuhnya” dan memerlukan masa untuk memproses apa yang berlaku.
Latar Belakang Pelajar
Aghayeva berasal dari Azerbaijan dan merupakan pelajar tahun akhir dalam jurusan neurosains dan sains politik.
Menurut rakan-rakannya, beliau mempunyai visa sah. Bagaimanapun, DHS menyatakan visa pelajarnya telah ditamatkan pada 2016 kerana gagal menghadiri kelas dan mendakwa beliau tiada rayuan atau permohonan tertunggak.
Beliau tidak dikaitkan secara rasmi dengan protes proPalestin di kampus tahun lalu.
Di media sosial, beliau dikenali sebagai pencipta kandungan mengenai kehidupan pelajar dan pengalaman sebagai pelajar antarabangsa.
Pertikaian Cara Tangkapan
Pihak universiti berkata, ejen Persekutuan mendakwa mereka sedang mencari orang hilang untuk memasuki bangunan.
DHS menafikan dakwaan pegawainya menyamar sebagai polis New York.
Isu ini mencetuskan perbahasan baharu mengenai penggunaan taktik penyamaran oleh ejen imigresen, yang menurut peguam hak sivil semakin kerap digunakan di bawah pentadbiran semasa.
Reaksi Kampus
Penahanan itu mencetuskan protes pelajar dan pensyarah. Presiden sementara universiti, Claire Shipman, mengingatkan kakitangan agar tidak membenarkan pegawai imigresen memasuki kawasan bukan awam tanpa waran kehakiman.
Universiti menyatakan siasatan dalaman sedang dijalankan dan maklumat lanjut akan diumumkan. – Agensi
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L