KOTA TINGGI – Wanita etnik Rohingya yang sedang hamil dan meninggal dunia akibat dibunuh suaminya di sebuah rumah sewa dekat Kampung Makam di sini, Jumaat lalu, selamat dikebumikan bersama anak dalam kandungan, hari ini.
Menurut laporan Harian Metro, mangsa berusia 34 tahun itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Makam Dagang, Kampung Makam di sini, kira-kira jam 11 pagi tadi, dihadiri lebih 50 orang daripada komuniti etnik itu.
Menurut Ketua Komuniti Rohingya Kota Tinggi, Zurahaque Jamaludin, 42, berkata jenazah wanita itu dituntut pihaknya dari Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru, semalam, selepas selesai proses bedah siasat sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT) di sini, bagi pengurusan jenazah sebelum dikebumikan.
“Arwah tidak ada keluarga di sini, jadi saya ambil tanggungjawab untuk uruskan dia. Alhamdulillah, semua berjalan lancar. Kira-kira jam 6.30 petang semalam, jenazah tiba di Kota Tinggi daripada HSI.
“Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk polis yang membantu, kerana arwah tidak boleh dihantar pulang ke Myanmar kerana dia pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR),” katanya ketika ditemui di tanah perkuburan itu di sini, hari ini.
Ditanya mengenai keadaan anak perempuan mangsa yang berusia empat tahun, Zurahaque berkata, kanak-kanak itu kini di bawah jagaan sementara pasangan suami isteri Rohingya yang tinggal di Taman Aman di sini.
Katanya, ahli keluarga mangsa akan mengambil hak penjagaan kanak-kanak itu selepas ini.
“Selepas polis serah anak arwah pada saya, saya berikan kepada pasangan yang berkeluarga untuk dijaga sementara.
“Saya difahamkan, sama ada nenek atau ibu saudaranya yang akan datang ambil nanti,” katanya.
Menurut Zurahaque, keadaan anak sulung mangsa itu dalam keadaan baik walaupun menghidap masalah jantung.
Bagaimanapun, katanya, kanak-kanak itu masih belum mengetahui ibunya sudah meninggal dunia, namun tahu bahawa bapanya ditahan polis.
“Kalau tanya anak arwah, dia cakap ibu ada di hospital sahaja, dia tak tahu ibunya sudah meninggal dunia. Tetapi, kalau tanya bapanya, dia cakap bapa kena tangkap polis.
“Dia tak ada cerita pasal kejadian itu, kami pun tidak tanya kerana tak mahu dia sedih,” katanya.
Zurahaque berkata, ini adalah kes bunuh yang pertama kali berlaku dalam komuniti etnik itu dan berharap ia tidak akan berulang lagi.
Katanya, dia menyerahkan sepenuhnya siasatan kes itu kepada polis.
“Selama ini, tidak ada kes begini berlaku dalam komuniti kami. Kami pun tak sangka boleh jadi begini. Biarlah pihak polis yang lakukan siasatan sewajarnya,” katanya.
Jumaat lalu, media melaporkan seorang wanita yang hamil tujuh bulan ditemui maut dipercayai dibunuh suaminya dipercayai menggunakan lesung batu.
Mangsa wanita itu ditemui di dalam bilik rumah sewa mereka kira-kira jam 7 pagi oleh pemilik rumah selepas dipercayai dibunuh kira-kira jam 3 pagi.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L