Sultan Selangor Tegas Tidak Berkenan Penternakan Babi di Selangor

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menyambut baik kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu penternakan babi, sekali gus menegaskan pendirian tegas baginda tidak berkenan aktiviti itu dijalankan di mana-mana daerah di negeri itu.

Menurut baginda, aktiviti penternakan babi berpotensi menimbulkan pelbagai kesan negatif terhadap alam sekitar dan kesejahteraan rakyat, khusus dari segi pencemaran udara serta sumber air.

Baginda bertitah, penternakan babi boleh menyebabkan pencemaran bau yang tidak menyenangkan, selain pelepasan najis dan sisa kumbahan berisiko mencemarkan sungai serta sumber air awam sekiranya tidak dikawal dengan ketat.

Sehubungan itu, Sultan Sharafuddin menegaskan, baginda tidak bersetuju dengan sebarang cadangan untuk membenarkan atau meneruskan penternakan babi di Selangor, memandangkan isu berkenaan telah lama menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat setempat.

Dalam pada itu, baginda menyarankan kerajaan mempertimbangkan pemberian lesen bagi mengimport daging babi dari luar negara sebagai alternatif bagi memenuhi permintaan dan keperluan masyarakat bukan Islam, khususnya kaum Cina di Selangor, tanpa perlu menjejaskan alam sekitar dan keharmonian masyarakat.

Baginda bertitah, langkah tersebut dilihat lebih wajar dan berkesan dalam memastikan keperluan semua pihak dipenuhi, selain mengelakkan konflik serta polemik berpanjangan berkaitan isu sensitif itu.

Sultan Sharafuddin turut menegaskan, isu penternakan babi di Selangor perlu dihentikan dan dimuktamadkan secara menyeluruh agar tidak terus berlarutan, bagi mengelakkan salah faham serta ketegangan antara masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini.

Baginda juga mengingatkan, keamanan dan keharmonian masyarakat harus sentiasa menjadi keutamaan, dan sebarang keputusan berkaitan dasar serta pembangunan perlu mengambil kira kepentingan awam serta kesejahteraan alam sekitar.

Baginda berharap semua pihak dapat menghormati pendirian tersebut dan bekerjasama dengan kerajaan negeri serta Persekutuan bagi memastikan Selangor kekal sebagai negeri yang aman, harmoni dan sejahtera untuk semua rakyatnya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *