Sultan Selangor murka keputusan MFL

Sultan Selangor Tegaskan Pembinaan Rumah Ibadat Tanpa Kebenaran Mesti Dihentikan

SHAH ALAM – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan sokongan penuh terhadap pendirian tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak bersetuju dengan pembinaan mana-mana rumah ibadat tanpa mematuhi peraturan dan undang-undang ditetapkan.

Pendirian itu telah dinyatakan oleh Anwar pada 7 Februari lalu dan ditegaskan sekali lagi ketika beliau mengadap Sultan Selangor pada 8 Februari.

Titah Sultan Selangor, pendirian Kerajaan Persekutuan itu selari sepenuhnya dengan prinsip yang sentiasa ditekankan oleh baginda, iaitu setiap pembangunan wajib dilaksanakan mengikut undang-undang yang berkuat kuasa serta amalan tadbir urus yang baik.

“Prinsip ini turut terpakai ke atas pembinaan semua rumah ibadat, termasuk kuil-kuil Hindu, yang perlu dilaksanakan secara terancang, sah dari sudut perundangan dan selaras dengan perancangan bandar yang mampan,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin Idris Shah telah dimaklumkan oleh Kerajaan Selangor, sehingga 31 Januari lalu, sebanyak 687 kuil Hindu dikenal pasti dibina tanpa kebenaran di negeri itu, dengan dari jumlah tersebut, 388 kuil dibina di atas tanah milik kerajaan, manakala 299 lagi didirikan di atas tanah milik persendirian.

Jumlah kuil tanpa kebenaran ini disifatkan sebagai tinggi jika dibandingkan dengan populasi masyarakat India beragama Hindu di Selangor yang dianggarkan sekitar 11.3 peratus.

Statistik tersebut juga tidak termasuk jumlah kuil yang telah dibina secara sah dan mendapat kelulusan pihak berkuasa negeri.

Sebagai Ketua Agama Islam di Negeri Selangor, baginda menegaskan, sentiasa menjaga sensitiviti masyarakat berbilang kaum dan agama demi memastikan keharmonian negeri terus terpelihara.

Namun, baginda menekankan, toleransi tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan undang-undang.

Baginda menegaskan, setiap rumah ibadat wajib dibina hanya selepas permohonan dikemukakan dan kelulusan sah diperoleh daripada kerajaan negeri serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), selain mematuhi semua perundangan dan garis panduan ditetapkan.

“Sebarang pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan sah, termasuk melibatkan pencerobohan tanah kerajaan atau tanah persendirian, berpotensi mencetuskan pertelingkahan antara penganut pelbagai agama dan seterusnya menimbulkan ancaman terhadap keselamatan serta kestabilan negeri serta negara.

“Sehubungan itu, kerajaan dan PBT diingatkan supaya meneliti dan memproses setiap permohonan pembinaan rumah ibadat secara telus, adil dan tersusun tanpa menjejaskan peruntukan undang-undang sedia ada.

“Pemantauan berterusan juga perlu dipertingkat bagi membanteras serta mengawal pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran,” titah baginda.

Sultan Selangor menegaskan, isu pembinaan kuil tanpa kebenaran ini mesti dihenti dan dimuktamadkan segera kerana ia telah berlarutan sekian lama, menimbulkan keresahan pelbagai pihak serta menjejaskan keamanan serta keharmonian masyarakat di Selangor.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *