LPKKN Perkukuh Akses Kesihatan Dengan Inisiatif Setempat

HULU TERENGGANU – Kajian mendapati hanya 40 peratus wanita di Malaysia menjalani saringan kanser serviks, sekali gus mencerminkan masih wujud jurang besar dalam akses maklumat kesihatan awam khususnya melibatkan masyarakat luar bandar.


Menyedari hakikat itu, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPKKN) sebagai agensi yang dekat dengan masyarakat bertekad untuk meningkatkan lagi jumlah wanita menjalani saringan berkenaan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Shukur Abdullah berkata, usaha itu bukan sahaja bertujuan memperluas capaian maklumat kesihatan, malah memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat peluang sama rata dalam penjagaan kesihatan.


Katanya, sebagai langkah strategik, LPKKN memperkenalkan pendekatan melantik duta komuniti, khususnya di kawasan luar bandar, bagi menyampaikan maklumat yang lebih tepat dan mudah difahami mengikut sentimen masyarakat setempat.

Beliau berkata, pendekatan itu penting kerana ramai belum bersedia sepenuhnya untuk menjalani saringan walaupun program itu telah dimulakan sejak 2019.


“Bagi pendekatan tahun ini, kita memilih untuk mendekati kawasan luar bandar dan etnik tertentu yang kita dapati masih sukar mendapat akses berkaitan dengan kanser serviks ini walaupun kita telah bermula program ujian saringan ini sejak 2019.

“Kita melantik duta ini agar kumpulan sasar dapat menerima sesuatu hebahan maklumat itu dengan lebih mudah difahami mengikut dialek etnik mahupun lenggok bahasa daerah masing-masing.

“Selain menyampaikan maklumat, ianya juga merupakan serampang dua mata untuk kami di mana duta yang dilatih ini akan menjalankan proses saringan dalam komuniti mereka yang dilihat lebih membantu untuk usaha ini,” katanya.

Menurut Abdul Shukur, sempena Bulan Kesedaran Kanser Serviks 2026 peringkat Terengganu yang disambut setiap Januari, Hulu Terengganu dipilih sebagai lokasi pelantikan beberapa duta komuniti termasuk daripada masyarakat Orang Asli yang merupakan penduduk asal di kawasan tersebut.

Katanya, LPKKN menyasarkan kira-kira 100 duta dari kalangan masyarakat Orang Asli di seluruh negara untuk digerakkan bersama duta komuniti lain.

“Sasaran tahun ini adalah sebanyak 32,000 saringan kanser serviks di seluruh Malaysia, sebagai usaha mempertingkatkan kesedaran dan pencegahan awal penyakit berbahaya tersebut,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *