KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) sedang meneliti sama ada terdapat unsur menghina mahkamah dalam kenyataan yang dibuat oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, peguam kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata semakan itu dibuat berdasarkan maklumat yang diterima oleh AGC.
“Berdasarkan input yang diterima oleh Jabatan Peguam Negara, AGC sedang meneliti isu berkaitan prosiding menghina mahkamah terhadap Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis Parlimen kepada Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh, yang bertanya sama ada AGC bercadang memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Shafee berhubung kenyataannya bahawa keputusan mahkamah berkaitan tahanan rumah Najib telah mengurangkan kuasa Raja-Raja Melayu dan Yang di-Pertua Negeri dalam permohonan pengampunan.
Azalina berkata penilaian itu bertujuan menentukan sama ada terdapat unsur yang boleh dikategorikan sebagai menghina mahkamah sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.
Pada 27 Jun 2025, AGC telah memberi Shafee tempoh tujuh hari untuk menjelaskan kenyataannya yang menyamakan suatu prosiding mahkamah sebagai “seperti perbicaraan ala Jerman Nazi”, yang didakwa berunsur menghina mahkamah.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L