KINABATANGAN – Dua pusat mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan ditutup jam 12 tengah hari ini.
Perkara itu disahkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Dr. Eddy Syaizul Rizam Abdullah kepada Bernama.
Menurut Warta Kerajaan Persekutuan bagi notis di bawah Subperaturan 11(5) Waktu Mengundi bagi PRK Parlimen Kinabatangan, dua pusat mengundi itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Inarad di Tongod yang mempunyai dua saluran, dan SK Sri Ganda di Litang, mengandungi satu saluran.
Sebelum ini, sebanyak 36 pusat pengundian dengan 117 tempat mengundi atau saluran dibuka serentak pada jam 7.30 pagi ini.
Kesemua pusat mengundi berkenaan dibuka hingga jam 5.30 petang ini dan menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 34 pusat mengundi lagi akan ditutup secara berperingkat mulai jam 1 tengah hari hingga 5.30 petang mengikut masa mengundi yang telah ditetapkan.
Menurut SPR, proses pengundian hari ini melibatkan 48,282 pengundi yang akan menunaikan tanggungjawab mereka bagi memilih wakil rakyat baharu Parlimen Kinabatangan.
Penjumlahan rasmi undi pula akan berlangsung di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi iaitu di Dewan Sri Lamag dan keputusan rasmi dijangka diumumkan pada 10 malam.
Sementara itu, polis mengesahkan perjalanan proses pengundian berjalan lancar setakat jam 12 tengah hari ini.
Ketua Polis Daerah Kinabatangan Supt Ravi Duraisamy berkata, menerusi pemantauan berterusan di lapangan menunjukkan tahap keselamatan pada semua 36 pusat pengundian berada pada tahap yang baik.
“Setakat ini, proses pengundian berjalan lancar … tiada sebarang provokasi dikesan dan keadaan di Kinabatangan adalah tenang tanpa sebarang masalah,” katanya.
Parlimen Kinabatangan mempunyai seramai 48,282 pengundi biasa yang layak mengundi pada hari ini, manakala DUN Lamag 13,515 pengundi.
PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim Moktar mewakili Barisan Nasional (BN), Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas), manakala di DUN Lamag, pertandingan satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).
PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis tahun lepas. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
