Kestabilan 38 Bulan Bukti Kerajaan Perpaduan Berfungsi, UMNO Terus Pikul Amanah Negara – Zahid

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, tempoh 38 bulan pentadbiran Kerajaan Perpaduan membuktikan kestabilan politik negara dapat dipelihara, sekali gus menjadi asas penting kepada pemulihan ekonomi, pemerkasaan pendidikan, pengukuhan agenda Islam dan Bumiputera serta peningkatan peranan Malaysia di persada antarabangsa.

Berucap dalam Ucapan Dasar Presiden UMNO sempena perhimpunan agung parti hari ini, Zahid berkata, tempoh itu jauh lebih stabil berbanding episod ketidaktentuan politik selama 22 bulan dan 17 bulan pada penggal Parlimen ke-14, yang menyaksikan negara berdepan krisis pentadbiran berpanjangan.

“Dalam tempoh 38 bulan ini, dari aspek politik dan pentadbiran, Kerajaan Perpaduan dapat berfungsi tanpa sebarang gangguan. Kejayaan ini wajar diberikan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang berjaya memimpin negara dengan baik berkat sokongan semua parti dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Menurut Zahid, kestabilan politik telah memberi kesan langsung kepada prestasi ekonomi negara, dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kekal mampan, nilai ringgit menunjukkan pengukuhan daripada RM4.18 berbanding dolar US Dolar pada Januari 2022 kepada RM4.09, manakala pelaburan langsung asing (FDI) meningkat dari AS$16.9 bilion pada 2023 kepada AS$19 bilion pada 2025.

Beliau berkata, kadar pengangguran turut menurun, kadar kemiskinan berjaya dikurangkan dan pelbagai bentuk bantuan dapat disalurkan secara berterusan kepada rakyat.

“Kejayaan ini bukan berlaku secara kebetulan, tetapi hasil keyakinan pelabur terhadap kestabilan dasar dan pentadbiran negara,” katanya.

Dalam tempoh sama, kata Zahid, pemerkasaan pendidikan kekal menjadi keutamaan kerajaan menerusi Agenda TVET Negara, yang membuka ruang lebih luas kepada golongan muda menceburi bidang kemahiran dan pekerjaan berpendapatan premium.

Beliau menekankan, pendekatan itu bukan sahaja memenuhi keperluan pasaran pekerjaan, malah membantu mengurangkan jurang kemahiran serta meningkatkan daya saing tenaga kerja tempatan.

Di peringkat antarabangsa, Zahid berkata, Malaysia berjaya memainkan peranan aktif, khususnya dalam membela nasib rakyat Palestin serta mempertahankan maruah dan kedaulatan negara dalam isu Sulu.

Beliau turut memuji kejayaan kerajaan melaksanakan tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN, selain merakamkan penghargaan kepada Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi atas kejayaan mempertahankan kepentingan negara di peringkat perundangan antarabangsa.

Zahid menegaskan, sepanjang 38 bulan ini, agenda Islam dan Bumiputera bukan sahaja tidak terpinggir, malah diperkukuhkan melalui pelbagai dasar dan inisiatif.

Antaranya termasuk pelaksanaan Dasar Tahfiz Negara 2.0, pendidikan Pra-Tahfiz KEMAS yang memberi manfaat kepada lebih 100,000 kanak-kanak setiap tahun, peluasan Program Ulul Albab ke semua 58 MRSM serta pengiktirafan Sijil Tahfiz Malaysia setaraf Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3.

“Inisiatif ini bertujuan melahirkan golongan Huffaz Profesional yang seimbang dari segi ilmu agama dan kemahiran,” katanya.

Beliau turut menzahirkan kejayaan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig yang dipengerusikan tokoh UMNO, hasil usul yang dibawa pada Perhimpunan Agung UMNO 2023, serta penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputera yang melahirkan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuT ERA35).

Beliau menyatakan keyakinan semua pencapaian itu adalah hasil kestabilan politik yang dibawa UMNO sebagai sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.

“Tempoh 38 bulan ini menandakan kita berada pada fasa penting untuk menilai dan menentukan haluan politik parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-16,” katanya.

Beliau mengakui terdapat pelbagai tawaran dan pendekatan politik yang datang kepada UMNO, namun menegaskan parti itu kekal melaksanakan amanah kenegaraan selagi asas kenegaraan dihormati.

“Selagi keikhlasan tidak dikhianati dan amanah dihormati, UMNO akan terus memainkan peranan dengan penuh tanggungjawab,” katanya, sambil menggunakan perumpamaan pokok yang tetap berakar kukuh biarpun dilanda ribut.

Namun, beliau memberi peringatan, kesetiaan UMNO tidak wajar dipersendakan dan kesabaran parti itu tidak harus ditafsir sebagai kelemahan.

Mengulas cabaran semasa, Zahid mengakui UMNO berdepan sentimen penolakan sebahagian orang Melayu terhadap penyertaan parti itu dalam Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata, UMNO terpaksa “membayar harga yang mahal” apabila dihina, dicaci dan dilabel sebagai “UMDAP”, selain dituduh mengkhianati perjuangan Melayu dan Islam serta tunduk kepada rakan politik.

“Walaupun kita menjunjung titah perpaduan demi menyelamatkan negara daripada kemelut berpanjangan, sentimen penolakan ini tidak boleh diketepikan,” katanya.

Zahid menolak dakwaan UMNO mencairkan prinsip perjuangannya, sambil menegaskan pendirian parti menolak Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA), pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pengiktirafan Tapak Warisan Dunia yang berat sebelah serta pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

“Apakah semua pendirian ini boleh dikatakan sebagai kita mengorbankan perjuangan Melayu dan Islam? Jawapannya, tidak,” tegasnya.

Beliau turut menjelaskan, slogan “No Anwar No DAP” sering dimanipulasi, sedangkan keputusan asal UMNO adalah untuk bergerak solo pada PRU-15. Penyertaan dalam Kerajaan Perpaduan berlaku selepas ada pihak menolak titah Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk kerajaan bersama.

Zahid turut mengakui, penyertaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan telah memberi kesan kepada hubungan sesama parti komponen Barisan Nasional, termasuk keputusan sesetengah pihak untuk meninggalkan gabungan itu.

Namun, beliau menegaskan, UMNO akan terus berpegang kepada wa’ad penubuhannya, iaitu mempertahankan kepentingan Melayu, kesucian Islam, kedaulatan institusi negara dan prinsip demokrasi, walaupun berdepan tekanan politik yang mencabar.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *