Dari Meja Editorial
SCAMMER tidak pernah tidur. Mereka sentiasa segar, kreatif dan rajin berfikir. Kita pula? Ada masanya terlalu lena dibuai angan-angan. Angan-angan untuk cepat kaya, angan-angan untuk hidup senang tanpa perlu bersusah payah. Di situlah pintu penipuan terbuka luas.
Sejak bertahun-tahun dahulu, isu scammer ini bukan lagi perkara baharu. Dari zaman surat berantai, skim cepat kaya, pelaburan emas sehingga ke pelaburan kripto, saham luar negara dan “AI trading” kononnya. Nama sahaja berubah, wajah sahaja bertukar, tetapi niatnya satu, menyedut wang orang yang terlalu percaya.
Kalau dulu kita sering dengar cerita pakcik dan makcik di kampung yang tertipu, hari ini ceritanya sudah naik kelas. Mangsa bukan lagi sekadar yang kurang berpelajaran atau tidak tahu membaca kontrak.
Hari ini, yang terperangkap ialah jurutera yang biasa mengira angka, arkitek yang melakar bangunan jutaan ringgit, guru dan pensyarah yang mendidik anak bangsa, malah pegawai bank dan kakitangan profesional.
Ironinya, mereka yang sepatutnya paling faham risiko, paling arif soal logik dan paling banyak membaca, akhirnya tunduk kepada janji “pulangan konsisten 10 peratus sebulan”. Entah di mana logiknya, tetapi di situlah manusia sering kalah, bukan kerana bodoh, tetapi kerana terlalu yakin.
Jumlah wang yang lesap pula bukan sedikit. Ada yang habis simpanan persaraan, ada yang menggadai rumah, ada yang meminjam daripada keluarga dan rakan-rakan. Ada juga yang sanggup berhutang semata-mata mahu “rolling modal”. Bila duit hilang, barulah sedar pelaburan itu rupanya pelaburan air liur semata-mata.
Kes-kes penipuan ini kemudian diviralkan. Gambar muka scammer dikongsi, tangkap layar perbualan disebarkan, laporan polis dimuat naik. Tujuannya satu, supaya orang lain tidak jadi mangsa.
Tetapi anehnya, walaupun cerita penipuan sudah bersepah di media sosial, masih ada yang berfikir, “Yang ini lain sikit, nampak meyakinkan.”
Padahal, hari ini terlalu mudah untuk mengenali scammer. Kalau ada individu yang menghubungi melalui telefon, WhatsApp, emel atau media sosial, lalu menawarkan pelaburan dengan modal kecil, tetapi keuntungan besar dan cepat, sebenarnya tidak perlu fikir panjang.
Jawapannya hampir pasti – scammer. Dunia kewangan tidak pernah mengenal istilah “untung besar tanpa risiko”. Yang ada hanyalah risiko besar yang disorokkan di sebalik kata-kata manis.
Scammer memang licik. Mereka pandai bermain emosi, pandai mencipta rasa percaya, dan pandai menggunakan testimoni palsu. Ada yang menyamar sebagai ustaz, ada yang bergaya seperti usahawan berjaya, ada yang mendakwa kononnya dibantu “orang dalam”. Tetapi sepandai-pandai scammer menipu, mereka tidak akan berjaya jika kita tidak membuka pintu.
Masalahnya, pintu itu sering dibuka oleh nafsu sendiri. Nafsu untuk cepat kaya. Nafsu untuk kelihatan berjaya. Nafsu untuk tidak mahu ketinggalan apabila melihat orang lain kononnya sudah untung. Akhirnya, akal diketepikan, prinsip dilupakan, dan wang diserahkan dengan penuh harapan.
Apabila wang lesap, barulah kita marah. Marah kepada scammer, marah kepada sistem, marah kepada diri sendiri. Tetapi kemarahan itu tidak lagi mampu mengembalikan apa yang telah hilang. Yang tinggal hanyalah penyesalan dan trauma.
Hakikatnya, memerangi scammer bukan sekadar soal menangkap penipu, tetapi soal mendidik diri sendiri. Selagi kita masih percaya kekayaan boleh datang dengan jalan singkat, selagi itulah scammer akan terus hidup mewah. Mereka tidak memerlukan teknologi canggih, cukup dengan satu kelemahan manusia, tamak yang disalut dengan harapan.
Mungkin sudah tiba masanya kita berhenti ketawa apabila orang lain ditipu, dan mula bertanya, “Kalau aku di tempatnya, mampukah aku menolak?” Kerana scammer tidak memilih mangsa berdasarkan kebodohan, tetapi berdasarkan kelalaian.
Dan, selagi kita terus lena, scammer akan terus berjaga. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
