SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan tiada lagi penternakan babi dibenarkan beroperasi di kawasan Tanjong Sepat, selaras dengan usaha berterusan kerajaan negeri menjaga kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar serta keharmonian sosial.
Titah berkenaan dibuat selepas baginda berkenan mengadakan sesi menghadap bersama Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim serta Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Ng Suee Lim di Istana Bukit Kayangan di sini.
Menurut satu kenyataan rasmi, Sultan Sharafuddin telah membuat penelitian menyeluruh terhadap pengurusan serta hala tuju industri penternakan babi di negeri itu sebelum memperkenankan beberapa ketetapan penting yang perlu dilaksanakan oleh pihak berkaitan.
Baginda menitahkan semua operasi penternakan babi sedia ada di Tanjong Sepat dihentikan secara berperingkat dan dipindahkan sepenuhnya ke kawasan Bukit Tagar mengikut perancangan tersusun serta mematuhi semua keperluan undang-undang, peraturan alam sekitar dan syarat pelesenan ditetapkan.
Perpindahan tersebut bertujuan memastikan aktiviti penternakan babi dilakukan di kawasan lebih sesuai serta terkawal, di samping mengurangkan risiko pencemaran alam sekitar dan gangguan terhadap kesejahteraan penduduk setempat.
Dalam pada itu, baginda turut menitahkan agar satu kajian terperinci serta bancian menyeluruh berasaskan data sah dan terkini dilaksanakan bagi mengenal pasti keperluan sebenar bekalan daging babi khusus untuk kegunaan rakyat bukan Islam di Selangor.
Hasil kajian tersebut perlu dijadikan asas utama dalam menentukan skala, kapasiti dan keluasan operasi penternakan babi di kawasan Bukit Tagar, supaya berada pada tahap munasabah, terkawal serta seimbang dengan keperluan sebenar negeri.
Sultan Sharafuddin turut menegaskan, kerajaan negeri tidak akan menyediakan sebarang peruntukan kewangan atau membuat pelaburan awam bagi mana-mana operasi penternakan babi pada masa hadapan, termasuk projek penternakan di Bukit Tagar.
Menurut baginda, pendekatan itu penting bagi memastikan sebarang aktiviti penternakan dilakukan secara bertanggungjawab oleh pihak industri sendiri tanpa membebankan kewangan awam atau menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.
Selain aspek pengurusan industri, baginda turut menekankan kepentingan pematuhan sepenuhnya terhadap undang-undang, garis panduan alam sekitar serta piawaian kebersihan dan kesihatan awam bagi memastikan operasi penternakan tidak menjejaskan kualiti hidup penduduk sekitar.
Baginda berharap semua pihak terlibat, termasuk agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan serta pengusaha industri, dapat melaksanakan ketetapan yang telah diperkenankan dengan penuh tanggungjawab, berhemah dan telus.
Titah baginda itu turut bertujuan memastikan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Selangor terus terpelihara, selain menjamin keseimbangan antara keperluan ekonomi, kebajikan rakyat dan kelestarian alam sekitar dalam jangka panjang.Top of Form
Bottom of Form
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L