KUALA LUMPUR – AmanahRaya Real Estate Investment Trust (AmanahRaya REIT) memaklumkan, pihaknya dalam proses melantik jurutaksir bebas bagi menjalankan penilaian menyeluruh susulan insiden letupan melibatkan pemampat sistem penyaman udara di kafeteria HELP University, Bukit Damansara, pagi semalam.
Dalam satu kenyataan kepada media, AmanahRaya REIT mengesahkan, insiden itu menyebabkan seorang individu maut, manakala sembilan yang lain mengalami kecederaan dan kini menerima rawatan.
Menurut kenyataan itu, ruang kafeteria yang terlibat telah dikosongkan serta-merta dan akses ke kawasan berkenaan dihadkan sebagai langkah keselamatan sementara bagi mengelakkan sebarang risiko lanjut kepada penghuni bangunan dan pengguna kampus.
AmanahRaya REIT turut memaklumkan, pihaknya telah menyalurkan bantuan serta sokongan kepada HELP University dalam menguruskan situasi berkenaan, termasuk dari segi keselamatan premis dan kebajikan individu yang terjejas.
Menurutnya, pengurus AmanahRaya REIT iaitu AmanahRaya-Kenedix REIT Manager Sdn. Bhd. kini bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan, termasuk polis serta perkhidmatan kecemasan bagi membantu siasatan dan pengurusan insiden berkenaan.
“Pihak kami komited untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada semua agensi berkaitan dan akan mematuhi segala keperluan serta arahan yang dikeluarkan sepanjang siasatan dijalankan,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, AmanahRaya REIT memaklumkan, pihaknya akan terus berkongsi maklumat terkini yang telah disahkan dari semasa ke semasa, tertakluk kepada perkembangan siasatan oleh pihak berkuasa.
“Keselamatan dan kesejahteraan semua penghuni, penuntut, kakitangan serta pihak berkepentingan di seluruh aset AmanahRaya REIT kekal menjadi keutamaan kami,” katanya.
Insiden berkenaan kini berada dalam siasatan pihak berkuasa bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta tahap keselamatan struktur dan sistem mekanikal di lokasi terlibat.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L