Pas Terima Peletakan Jawatan Muhyiddin, Desak PN Adakan Mesyuarat Tergempar

SHAH ALAM -Pas mengesahkan penerimaan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan menggesa gabungan itu segera mengadakan mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi (MT) bagi membincangkan pelantikan pengganti.

Timbalan Pengerusi PN merangkap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata gesaan tersebut selaras dengan Fasal 8.3(l)(b) Perlembagaan PN. Perkara itu dinyatakan dalam surat bertarikh semalam bagi membolehkan MT PN menerima serta mengesahkan peletakan jawatan Muhyiddin yang berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.

Menurut Abdul Hadi, mesyuarat tergempar itu penting demi memastikan kelangsungan kepimpinan dan kestabilan gabungan, selain melantik Pengerusi baharu bagi menggantikan Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU dan Ahli Parlimen Pagoh.

“Saya sebagai Presiden Pas telah menerima surat peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN bertarikh 30 Disember 2025, berkuat kuasa 1 Januari lalu.

“Pas menghormati dan menerima keputusan tersebut serta merakamkan penghargaan atas segala khidmat dan jasa beliau sepanjang menerajui PN,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa tindakan segera perlu diambil memandangkan tempoh kuat kuasa peletakan jawatan itu telah melebihi 10 hari. Kandungan surat rasmi Pas bertajuk ‘Panggilan Mesyuarat Tergempar MT PN’ itu dimuat naik Abdul Hadi di laman sosialnya hari ini.

Sebelum ini, Muhyiddin dilaporkan mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN selepas lima tahun menerajui gabungan berkenaan sejak ia didaftarkan secara rasmi pada 7 Ogos 2020.

PN kini dianggotai beberapa parti utama termasuk Bersatu, Pas dan Gerakan. Susulan peletakan jawatan tersebut, pelbagai spekulasi timbul mengenai calon yang bakal mengetuai gabungan itu, dengan antara nama disebut ialah Abdul Hadi sendiri serta Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Terdahulu, beberapa pemimpin Pas termasuk Ketua Pemuda, Afnan Hamimi Taib Azamudden, secara terbuka menyuarakan pandangan agar jawatan Pengerusi PN diberikan kepada Pas. Hubungan antara Pas dan Bersatu turut dilihat semakin tegang kebelakangan ini, khususnya selepas pergolakan politik di Perlis yang menyaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri Sanglang, Mohd Shukri Ramli, meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *