Penerbangan MH21 Malaysia Airlines isytihar kecemasan di ruang udara Perancis

PARIS – Juruterbang sebuah pesawat Airbus A350 Malaysia Airlines mengisytiharkan kecemasan sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Charles de Gaulle (CDG), Paris, semalam.

Penerbangan MH21 berlepas dari CDG pada jam 11.55 pagi waktu tempatan (CET), kira-kira 45 minit lewat daripada jadual asal berikutan keadaan salji di lapangan terbang berkenaan.

Pesawat Airbus A350 dengan pendaftaran 9M-MAB itu berlepas dari landasan 27L, namun menghentikan pendakian pada ketinggian 4,572 meter.

Anak kapal kemudiannya mengisytiharkan kecemasan (kod squawk 7700) ketika berada di ruang udara tengah Perancis susulan masalah membabitkan sistem panduan pesawat.

Menurut laman sesawang penjejakan penerbangan, flightaware.com, pesawat berkenaan berpatah balik dan mendarat di CDG pada jam 3.36 petang waktu tempatan.

Sementara itu, di PETALING JAYA, Malaysia Airlines mengesahkan penerbangan MH21 yang beroperasi dari Lapangan Terbang Charles de Gaulle, Paris (CDG) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KUL), semalam berpatah balik dan mendarat semula di CDG susulan masalah teknikal.

Dalam satu kenyataan, ia berkata, tindakan itu sebagai langkah berjaga-jaga susulan pengesanan ketidaknormalan pada petunjuk enjin.

Menurutnya, penerbangan gantian MH21D bagaimanapun dijadualkan berlepas dari CDG pada 1 tengah hari waktu tempatan hari ini.

“Selaras dengan prosedur keselamatan penerbangan standard, kru penerbangan telah memohon pengendalian keutamaan dan mematuhi arahan Kawalan Trafik Udara, termasuk penggunaan kod transponder kecemasan.

“Ini bagi memudahkan kepulangan selamat ke CDG untuk pemeriksaan teknikal.

“Pesawat tersebut mendarat dengan selamat pada jam 3.35 petang waktu tempatan di Paris,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Malaysia Airlines berkata, penumpang yang terjejas ditempatkan semula ke syarikat penerbangan alternatif sekiranya ada, manakala sebahagian penumpang lain disediakan penginapan di hotel berhampiran lapangan terbang.

“Malaysia Airlines amat kesal atas segala kesulitan dan gangguan terhadap perancangan perjalanan penumpang. Keselamatan kekal sebagai keutamaan utama Malaysia Airlines,” kata kenyataannya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *