Pemuda UMNO sudah beri amaran, apa tindakan pimpinan?

Dari Meja Editorial

AMARAN Pemuda UMNO agar parti itu keluar daripada Kerajaan Perpaduan bukan lagi satu cadangan bersifat dalaman, tetapi satu isytihar kekecewaan terbuka terhadap kepimpinan kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia lahir bukan daripada emosi semata-mata, tetapi pengalaman sebenar UMNO yang berada dalam kerajaan, namun diperlakukan seolah parti kelas kedua, hanya cukup sebagai pelengkap angka untuk mengekalkan kuasa Perdana Menteri.

Realitinya, UMNO hari ini berada dalam kerajaan tanpa dihormati. Banyak isu membabitkan kepentingan politik UMNO, termasuk tekanan terhadap pemimpinnya, persepsi negatif terhadap parti dan tuntutan akar umbi langsung tidak dilayan dengan serius.

Dalam masa sama, apa sahaja masalah melibatkan PKR, DAP atau Amanah, akan diselesaikan dalam sekelip mata. Perdana Menteri pantas bersuara, menteri-menteri tampil mempertahankan dan naratif kerajaan segera dibentuk.

Namun, ketika UMNO dihentam, kerajaan membisu. Malah, ada yang memberi sindiran sinis. Ini bukan lagi soal persepsi. Ini soal layanan tidak adil yang jelas dan berulang.

Pemuda UMNO melihat dengan mata kepala sendiri bagaimana parti yang pernah membina negara kini dipaksa menelan segala kelemahan kerajaan tanpa kuasa sebenar untuk membetulkannya.

UMNO dipersalahkan atas kegagalan kerajaan, tetapi dinafikan ruang untuk mempertahankan prinsip sendiri. Inilah bentuk penghinaan politik yang paling halus, tetapi paling berbahaya.

Kenyataan Datuk Dr. Muhammad Akmal Saleh menolak rampasan kuasa adalah penting untuk difahami. Pemuda UMNO tidak mahu menjatuhkan kerajaan melalui jalan belakang. UMNO tidak tamak kuasa dalam keadaan lemah.

Sebaliknya, Pemuda menegaskan satu perkara yang lebih bermaruah: jika UMNO tidak diperlukan dalam membuat keputusan, jika suara UMNO tidak dihormati, maka lebih baik UMNO keluar dengan kepala tegak dan menjadi pembangkang berprinsip.

Kerajaan Perpaduan tidak akan tumbang walaupun UMNO keluar. Ini hakikat yang Pemuda UMNO terima dengan jujur. Tetapi persoalannya, mengapa UMNO perlu terus berada dalam sebuah kerajaan yang jelas tidak memerlukan UMNO kecuali sebagai kosmetik politik untuk mengaburi mata rakyat Melayu?

Lebih baik UMNO membina kekuatan sendiri, membersihkan imej, dan bersedia merampas kembali mandat rakyat pada PRU16 daripada terus menjadi perisai kepada kegagalan orang lain.

Lebih membimbangkan, isu agama, bangsa dan institusi Raja-Raja Melayu semakin kerap dipermainkan dalam kerajaan ini. Apabila sensitiviti Melayu-Islam dicabar, tindak balas kerajaan sering lambat, lemah atau selektif.

UMNO tidak boleh terus bersekongkol dalam sebuah pentadbiran yang gagal mempertahankan asas perjuangan orang Melayu hanya kerana takut kehilangan jawatan.

Seruan penyatuan UMNO dan Pas oleh Pemuda UMNO harus dilihat dalam konteks ini. Ia bukan sekadar nostalgia Muafakat Nasional, tetapi satu pengakuan bahawa perpecahan Melayu hanya menguntungkan pihak lain.

Namun, penyatuan ini mesti dibina atas kejujuran dan kesediaan kedua-dua pihak untuk benar-benar meletakkan kepentingan ummah mengatasi dendam politik lampau.

Amaran Pemuda UMNO ini sepatutnya menjadi wake-up call kepada kepimpinan parti dan juga kepada Perdana Menteri. Kesabaran Pemuda dan akar umbi ada hadnya.

UMNO bukan parti yang hidup menumpang. Jika terus diperkotak-katikkan, jangan salahkan sesiapa apabila UMNO memilih jalan pembangkang yang berani, berprinsip dan bersedia merampas kembali kerajaan pada PRU16.

Ini bukan ugutan. Ini kenyataan politik yang lahir daripada luka yang terlalu lama dipendam. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *