Kepimpinan Bersatu tetap mantap walaupun tidak lagi memimpin PN – Muhyiddin

KUALA LUMPUR – Menyambut permulaan tahun baharu, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru seluruh ahli parti untuk memperkukuh kerjasama, memperteguh perpaduan dan menutup rapat segala ruang perpecahan dalam parti.

Tegas beliau, kepimpinan Bersatu kekal mantap dan strategik demi memastikan kelangsungan dan kekuatan parti pada masa hadapan.

“Saya masih menerajui kepimpinan parti sebagai Presiden, walaupun tidak lagi memimpin Perikatan Nasional (PN). Bersatu tetap menjadi rakan berprinsip, konsisten dan setia dalam PN dan kerjasama ini akan diteruskan demi kestabilan serta kekuatan gabungan.

“Dalam menghadapi cabaran semasa, keutamaan kita adalah untuk memastikan kelangsungan, kekuatan dan masa depan parti.

“Ada ketikanya kita perlu mengambil satu langkah ke belakang, bukan sebagai tanda kelemahan, tetapi sebagai langkah strategik untuk mengukuhkan asas, menyusun barisan kepimpinan dan membina kekuatan parti yang lebih tersusun dan mampan,” kata beliau menerusi Facebooknya hari ini.

Muhyiddin turut menyeru agar seluruh ahli parti kekal beristiqamah, berdisiplin dan menjunjung budaya saling menghormati.

Beliau menekankan, sebarang perbezaan dalaman perlu diselesaikan secara berhemah, matang dan tertutup, demi kepentingan parti secara keseluruhan.

Menurutnya, penyatuan ahli dan disiplin merupakan asas penting untuk menghadapi cabaran politik yang kian kompleks.

“Setiap langkah strategik yang diambil oleh kepimpinan adalah untuk memastikan parti kekal relevan, mantap dan berdaya saing di peringkat nasional.

“Saya menuntut agar seluruh ahli Bersatu menjunjung budaya saling menghormati, menyelesaikan perbezaan secara matang dan mengekalkan fokus terhadap kepentingan parti.

“Inilah asas yang akan mengukuhkan Bersatu untuk menghadapi cabaran politik pada masa hadapan,” tambahnya.

Kenyataan ini disifatkan sebagai pesanan penyatuan dan pengukuhan disiplin yang penting untuk mengukuhkan parti pada permulaan tahun baharu, sambil menekankan kepimpinan strategik dan penyusunan barisan parti sebagai asas kepada kekuatan Bersatu.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *