UMNO, Ugutan Politik dan Realiti Angka: Kerajaan Madani Tidak Goyah dengan Retorik

Dari Meja Editorial

KENYATAAN Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Salleh yang memberi bayangan kemungkinan UMNO menarik diri daripada Kerajaan Madani susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak dakwaan kewujudan titah adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16, telah mencetuskan gelombang reaksi politik dan perdebatan awam.

Nada keras yang digunakan oleh pimpinan sayap pati itu, seolah mahu menggambarkan UMNO sebagai penentu mutlak kelangsungan kerajaan hari ini.

Namun, apabila emosi diketepikan dan angka dibentangkan secara rasional, persoalan utama muncul, jika UMNO dan Barisan Nasional (BN) benar-benar keluar daripada Kerajaan Madani, adakah kerajaan akan tumbang?

Jawapannya, secara objektif dan berasaskan realiti Parlimen, tidak semestinya.

Kerajaan Madani Bukan PH + UMNO Sahaja. Ada lagi parti lain yang tidak ada masalah dengan pentadbiran sekarang. Tidak ada sebab untuk mereka mengikut jejak UMNO, walaupun sebagai rakan gabungan, mereka memahami jiwa dan perasaan rakannya itu.

Namun, naratif yang cuba dibina oleh sesetengah pihak ialah Kerajaan Madani bergantung sepenuhnya kepada UMNO atau BN. Hakikatnya, kerajaan ini terbina atas gabungan pelbagai blok politik, bukan satu paksi tunggal.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Pakatan Harapan (PH) memperoleh sekitar 82 kerusi Parlimen, jauh daripada majoriti mudah 112 kerusi. Namun kerajaan tidak dibentuk secara bersendirian. Ia disokong oleh beberapa gabungan dan parti utama lain, termasuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) sekitar 23 kerusi; Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sekitar enam kerusi; Warisan dan parti kecil seperti Bebas serta Barisan Nasional (BN) sekitar 30 kerusi (majoritinya UMNO).

Gabungan sokongan ini menjadikan jumlah kerusi kerajaan lebih 150 kerusi, satu angka yang selesa dan stabil.

Sekiranya senario paling ekstrem berlaku, iaitu UMNO dan keseluruhan BN menarik sokongan, kerajaan akan hanya kehilangan kira-kira 30 kerusi. Namun, PH yang bergabung dengan GPS, GRS, Warisan dan parti lain masih berpotensi melepasi ambang 112 kerusi, iaitu majoriti mudah yang diperlukan untuk mentadbir.

Dengan kata lain, ugutan keluar kerajaan bukanlah “butang nuklear” seperti yang cuba digambarkan. Ia mungkin mengurangkan keselesaan, tetapi tidak semestinya menjatuhkan kerajaan.

Lebih penting, GPS dan GRS secara konsisten menegaskan pendirian pragmatik mereka, iaitu kestabilan, pembangunan dan autonomi negeri, bukan drama politik Semenanjung. Setakat ini, tiada isyarat jelas mereka bersedia mengorbankan kestabilan demi menyertai percaturan beremosi pihak lain.

Masalah utama dengan kenyataan keras seperti dilontarkan Pemuda UMNO bukan sekadar kandungannya, tetapi mesej politik yang dihantar, seolah tekanan awam dan ancaman politik boleh menggantikan proses mahkamah dan Perlembagaan.

Keputusan Mahkamah Tinggi berhubung isu titah adendum bukan keputusan politik. Ia keputusan kehakiman. Menjadikannya alasan untuk ugutan keluar kerajaan hanya memperlihatkan kekeliruan antara kuasa eksekutif, kehakiman dan parti politik.

Jika UMNO benar-benar berprinsip dan yakin dengan pendiriannya, jalan yang matang ialah menggunakan saluran undang-undang, menghormati proses mahkamah, dan membuat keputusan politik berasaskan kepentingan negara, bukan tekanan emosi.

Dalam semua retorik ini, satu perkara yang lebih wajar diberi perhatian ialah status DNAA melibatkan Presiden UMNO. DNAA bukan pembebasan mutlak. Secara prinsip undang-undang, kes boleh dibuka semula sekiranya wujud bukti baharu atau semakan pendakwaan.

Kebimbangan fail kes akan disemak semula, diteliti satu per satu dan berpotensi menemui asas untuk tindakan lanjut bukan spekulasi liar, tetapi realiti prosedur perundangan.

Justeru, tekanan politik terhadap kerajaan atau institusi kehakiman mungkin lebih mencerminkan kegusaran dalaman berbanding keberanian politik.

Hakikatnya mudah, PH sahaja tidak cukup kuat, tetapi Kerajaan Madani bukan bergantung kepada UMNO semata-mata. Jika UMNO dan BN keluar sekalipun, kerajaan masih berpeluang meneruskan pentadbiran dengan majoriti mudah, selagi rakan lain kekal menyokong kestabilan.

Politik ugutan mungkin berkesan di pentas ceramah, tetapi di Dewan Rakyat, angka lebih berkuasa daripada slogan. Dalam keadaan negara memerlukan kestabilan ekonomi dan keyakinan pelabur, rakyat wajar menilai siapa yang benar-benar memikirkan masa depan negara dan siapa yang sekadar bermain politik tekanan. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *