Oleh: Manzaidi Mohd Amin
PAGI 20 Disember itu, Kampung Raja di Tunjang, Jitra, tidak sekadar menyambut matahari seperti biasa. Bendang yang terbentang luas seakan bernafas lebih perlahan, angin sepoi-sepoi menyelinap lembut di celah batang anak semaian, membawa bersama aroma tanah, embun dan kenangan.
Di tengah-tengah hamparan hijau itulah berdiri sebuah rumah kayu lama, Rumah Pusaka Dinsman, yang hari itu menjadi saksi bersejarah kepada pertemuan jiwa-jiwa pencinta seni, kata dan teater.
Akhirnya, setelah dirancang dan dinantikan, berkumpullah para peserta Bengkel Penulisan Skrip Teater Siri Ketiga anjuran Pertubuhan Karyawan Seniman Malaysia (PAKSI).
Ia bukan sekadar bengkel biasa, tetapi sebuah perhimpunan kecil yang sarat makna—seperti kenduri ilmu di kampung sendiri—diadakan di rumah pusaka seorang tokoh besar sastera dan teater tanah air, Datuk Che Shamsuddin Othman atau lebih dikenali dengan panggilan Dinsman, juga Pak Din.

Rumah Pusaka Dinsman bukan sekadar struktur kayu bertiang tinggi. Ia adalah rumah yang menyimpan sejarah, menyerap masa, dan memeluk kenangan. Dibina dengan seni bina tradisional Melayu, rumah ini berdiri teguh di tengah bendang, seolah tidak terusik oleh arus zaman.
Pintu dan tingkapnya banyak, hampir tiada dinding yang memisahkan dalam dan luar, membenarkan cahaya pagi dan angin desa masuk tanpa sekatan.
Di sinilah para peserta berkumpul, Kassim Muhamad, Abdul Razak Khaliq, Jamly Bahruldin, Manzaidi Mohd Amin dan Sharifah Naina Muhamad duduk bersila serta bersimpuh di atas lantai berkarpet tebal, membiarkan tubuh dan fikiran mereka menyatu dengan ruang. Tiada pendingin hawa, tiada kerusi empuk hotel, hanya bunyi alam, desir angin, kicau burung dan sesekali suara jauh penduduk kampung yang menjadi muzik latar bengkel.
Suasana ini bukan kebetulan. PAKSI, di bawah kepimpinan yang memahami jiwa seni, sengaja memilih lokasi yang berakar pada kampung dan budaya. Seperti siri pertama di Kampung Kundang, Selangor, dan siri kedua di Kampung Cita Jaya, Tanah Merah, Kelantan, bengkel ini sekali lagi menemukan peserta dengan alam dan kesederhanaan.
Kerana di sinilah, seringkali, idea paling jujur lahir, bukan di dewan berhawa dingin, tetapi di ruang yang membenarkan jiwa bernafas.
Kehadiran peserta semakin bertambah, menambahkan seri kepada bengkel hari pertama. Antara yang mencuri perhatian ialah kehadiran Dr. Fazilah Husin, Ketua Jabatan Bahasa Melayu, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Beliau tidak datang sendirian, sebaliknya membawa bersama dua orang anak didiknya, Nor Syuhada Namirah Mohd Izani dan Qurratul Aini Ahmat Adam, kedua-duanya penuntut tahun akhir Bacelor Sastera Kesusasteraan Melayu Dengan Kepujian.
Kehadiran mereka membawa nafas akademik ke dalam ruang bengkel yang sarat pengalaman praktikal. Tujuan mereka jelas, melakukan kajian terhadap drama, novel dan cerpen serta menyelami sendiri proses penciptaan skrip di bawah bimbingan tokoh yang telah lebih enam dekad bergelumang dengan dunia teater.
Turut menyerikan bengkel ialah kehadiran dua pegawai J-Kom Kedah, Muhammad Anas Othman dan Sharifah Munawir Md. Isa, yang dihantar khusus untuk mengikuti bengkel selama tiga hari, dari 20 hingga 22 Disember.

Kehadiran mereka memperlihatkan bahawa seni dan penulisan skrip bukan hanya milik sasterawan, tetapi juga relevan dalam dunia komunikasi dan pembangunan masyarakat.
Peserta datang dari pelbagai penjuru tanah air, Shah Alam, Sungai Buloh, USJ Subang Jaya, Serdang di Selangor; Tanah Merah di Kelantan, Arau di Perlis, serta sekitar Alor Setar dan Jitra.
Jarak dan perjalanan jauh tidak menjadi penghalang. Yang mengikat mereka ialah minat, kesungguhan dan kepercayaan bahawa seni kata masih punya tempat, walau sering terpinggir.
Bengkel dimulakan sekitar jam 10.30 pagi dengan ucapan alu-aluan oleh Timbalan Presiden PAKSI, Kassim Muhammad atau lebih mesra dikenali sebagai Pak Kassim. Dengan nada tenang, tetapi sarat makna, beliau mengemaskan duduk para peserta, bukan hanya secara fizikal, tetapi juga secara mental dan emosi.
Pak Kassim mengajak peserta merenung realiti dunia sastera hari ini. Dalam perbandingan yang sederhana, tetapi mengesankan, beliau menyamakan sastera dengan sukan. Sukan, katanya, sekurang-kurangnya menawarkan pingat, pengiktirafan yang jelas dan diraikan. Sastera pula sering berjalan sunyi, hasilnya hanya dibaca oleh kelompok kecil, jarang mendapat tempat di media arus perdana, apatah lagi ganjaran material.
Namun, di situlah terletaknya nilai sebenar sastera. Ia tidak menjanjikan kemasyhuran, tetapi menawarkan kejujuran. Ia tidak menjanjikan kekayaan, tetapi memperkaya jiwa. Peserta yang hadir hari itu adalah bukti, minat terhadap penulisan skrip dan sastera masih hidup meskipun perlahan, meskipun sederhana.
Peserta lama yang telah mengikuti dua siri terdahulu dan peserta baharu memulakan bengkel dengan sesi latihan minda. Latihan ini bukan sekadar pemanasan, tetapi usaha untuk membuka ruang fikir, meruntuhkan sekatan dalaman dan membiasakan diri dengan cara berfikir secara dramatik.
Di bawah bimbingan Pak Dinsman, peserta diajak melihat kehidupan sebagai pentas, setiap manusia sebagai watak, setiap peristiwa sebagai konflik dan setiap pilihan sebagai gerak dramatik.
Pengalaman hidup, kata Pak Din, adalah bahan mentah paling jujur untuk skrip. Tugas penulis hanyalah mengolahnya dengan kepekaan dan keberanian.
Dalam ucapan alu-aluannya, Pak Dinsman sendiri tampil sederhana. Tiada aura keangkuhan seorang sasterawan besar, hanya senyuman dan suara yang tenang. Beliau mengucapkan terima kasih atas kehadiran Dr. Fazilah dan dua pelajarnya, serta semua peserta yang sudi datang dari jauh.
Lebih enam dekad beliau menceburkan diri dalam dunia penulisan skrip teater. Karya-karyanya telah dipentaskan di seluruh negara, mengangkat isu masyarakat, politik, keagamaan dan kemanusiaan dengan keberanian serta kejujuran.
Namanya terpahat sebagai antara tokoh besar kesusasteraan Melayu moden. Namun, di hadapan peserta, beliau tetap seorang guru, bersedia berkongsi, mendengar dan membimbing.
Menjelang tengah hari, peserta dijemput makan di kenduri perkahwinan jiran. Di sinilah bengkel bertukar wajah, daripada ruang ilmu kepada ruang budaya. Hidangan kampung – gulai kawah, kerabu togei dan pajeri nanas serta senyuman tuan rumah dan suasana gotong-royong memperkenalkan peserta kepada adat dan cara hidup masyarakat Kedah.

Ia bukan sekadar makan tengah hari, tetapi pengalaman, sebuah peringatan bahawa seni tidak terpisah daripada masyarakat. Bahawa skrip yang baik lahir daripada kefahaman terhadap budaya, manusia, dan kehidupan seharian.
Hari pertama bengkel berakhir dengan rasa tenang dan penuh harapan. Di tengah bendang yang luas, di bawah langit Kedah yang redup, benih-benih skrip telah disemai. Mungkin belum tumbuh, mungkin belum berbunga, tetapi tanahnya subur, dan anginnya menyokong.
Pak Kassim dengan Ikhlas (lakonan Cikgu Jamly Bahrulddin) mempersembahan fragmen Pak Sastro di khalayak peserta. Mungkin asing, mungkin baharu kepada dua penuntut UPM dan dua pegawai J-Kom. Namun, mereka kelihatan asyik dan tertarik dengan persembahan itu.

Di akhir waktu, di Rumah Pusaka Dinsman, seni kembali ke asalnya, dekat dengan alam, dekat dengan manusia, dan dekat dengan jiwa. Peserta masing-masing seperti berat untuk meninggalkan bengkel, walaupun ditutup pada jam 10 malam.
Namun, mereka memaksa juga diri untuk bangun dan beredar dari tempat duduk masing-masing dengan menyerap pengalaman baharu dalam jiwa untuk dibawa ke kehidupan masa hadapan. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L