KOTA BHARU – Usaha berterusan polis untuk menutup sepenuhnya laluan tidak sah di sepanjang Sungai Golok semakin menunjukkan hasil apabila sekurang-kurangnya 50 pangkalan haram di sempadan Kelantan-Thailand dijangka dapat dirobohkan sepenuhnya sebelum akhir bulan ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, setakat ini sebanyak 25 pangkalan haram telah dimusnahkan menerusi operasi berperingkat yang dijalankan sejak bulan lalu, khususnya di kawasan berisiko tinggi melibatkan daerah Tanah Merah dan Pasir Mas.
Menurut beliau, baki dua minggu sebelum tamat bulan ini akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi meneruskan operasi perobohan, dengan sasaran tambahan sekitar 20 lagi pangkalan haram dapat ditutup secara menyeluruh.
“Berdasarkan pemantauan di lapangan, kita tidak mengesan sebarang usaha untuk membina semula jeti atau pangkalan haram yang telah dirobohkan.
Namun, kawalan dan rondaan akan terus dipertingkatkan bagi mengelakkan aktiviti ini berulang,” katanya selepas menghadiri perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, semalam.
Bagaimanapun, Mohd Yusoff tidak menafikan wujudnya isu kebocoran maklumat berkaitan operasi perobohan yang sedang dijalankan.
Situasi itu menyebabkan rakit-rakit yang digunakan bagi aktiviti rentas sempadan haram dan sebelum ini ditempatkan di tebing Sungai Golok di sebelah Kelantan, dipindahkan ke kawasan seberang di Thailand bagi mengelak tindakan pihak berkuasa.
Mengulas impak penutupan pangkalan haram bermula Disember tahun lalu, beliau berkata, langkah itu telah membawa kesan ketara terhadap penurunan jenayah rentas sempadan, termasuk aktiviti penyeludupan dan keluar masuk individu secara tidak sah.
“Sebelum tindakan tegas diambil, jumlah individu yang menggunakan pangkalan haram untuk keluar masuk negara boleh mencecah sehingga 500 orang sehari, malah kenderaan diparkir berderet di sepanjang kawasan sempadan. Keadaan ini jelas menimbulkan risiko keselamatan,” jelasnya.
Tambah beliau, situasi kini jauh berbeza apabila hanya sekitar 10 peratus individu masih berdegil menggunakan laluan tidak sah, sekali gus membuktikan keberkesanan penguatkuasaan yang dilaksanakan secara bersepadu.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Yusoff turut mendedahkan, sindiket penyeludupan migran yang aktif menggunakan laluan tidak diwartakan di sempadan Kelantan–Thailand berjaya ditumpaskan hasil siri operasi bersepadu yang dijalankan dari Januari hingga November tahun ini.
Sepanjang tempoh itu, sebanyak 199 serbuan berjaya dilaksanakan membabitkan kes penyeludupan migran, perlindungan migran serta aktiviti rentas sempadan secara haram.
Operasi berkenaan membawa kepada pembukaan puluhan kertas siasatan serta tangkapan ratusan individu.
Bagi kes penyeludupan migran di bawah Seksyen 26A dan 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, polis membuka 50 kertas siasatan dengan penahanan 70 tekong dan 332 migran.
Selain itu, pihak berkuasa turut merampas pelbagai kenderaan termasuk 39 motosikal, sebuah bas dan tujuh motosikal dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan.
Sementara itu, bagi kes melindungi migran di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63, sebanyak 54 kertas siasatan dibuka melibatkan tangkapan 53 individu yang bertindak sebagai pelindung serta 214 migran. Rampasan turut melibatkan 35 motosikal dan sebuah lori.
Polis juga membuka 27 kertas siasatan bagi kes merentas sempadan tanpa kebenaran di bawah Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63, dengan 35 individu ditahan. Daripada jumlah tersebut, 29 merupakan warga tempatan manakala enam lagi warga Thailand, berusia antara 17 hingga 74 tahun.
Menegaskan komitmen pihaknya, Mohd Yusoff berkata, kawalan keselamatan di sempadan akan terus diperkukuh, terutama di laluan tidak sah, menerusi kerjasama rapat dengan agensi penguatkuasaan lain serta perkongsian risikan dan maklumat bersama Polis Thailand.
“Langkah ini penting bagi memastikan keselamatan sempadan negara sentiasa terpelihara dan sebarang ancaman jenayah rentas sempadan dapat dibendung secara berkesan,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
