SEREMBAN – Penemuan satu beg mengandungi mayat seorang wanita yang ditanam di kawasan belakang sebuah rumah kosong di Kampung Batu 4, Pedas, Rembau mencetuskan siasatan serius polis, dengan mangsa dipercayai mempunyai kaitan kes kehilangan seorang wanita di Ampang, Selangor, awal bulan ini.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kehilangan wanita berkenaan selepas satu laporan dibuat di Balai Polis Ampang, Ampang Jaya Isnin lalu.
Menurut beliau, laporan itu kemudiannya disalurkan kepada Balai Polis Pedas, Rembau bagi tindakan lanjut selepas siasatan awal membawa kepada sebuah rumah tidak berpenghuni di Jalan Pedas-Linggi yang disyaki menjadi lokasi berlakunya perbuatan jenayah.
“Hasil pemeriksaan di kawasan sekitar rumah itu, pasukan polis menemukan sebuah beg ditanam di bahagian belakang rumah tersebut. Pemeriksaan lanjut mendapati beg itu mengandungi mayat seorang wanita,” katanya menerusi satu kenyataan, semalam.
Beliau berkata, mayat itu dibawa keluar untuk tindakan lanjut dan satu bedah siasat dijadualkan hari ini (Jumaat) bagi mengenal pasti punca kematian serta membantu proses pengesahan identiti mangsa.
Katanya, polis kini giat menjalankan siasatan menyeluruh termasuk mengesan individu yang dipercayai terlibat dalam kes berkenaan.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membabitkan kesalahan bunuh.
Dalam pada itu, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau di nombor 06-685 2222.
Alzafny turut mengesahkan penemuan mayat wanita berkenaan, namun memaklumkan identiti mangsa belum dapat dipastikan secara rasmi setakat ini dan menunggu hasil bedah siasat serta siasatan lanjut.
Sebelum ini, media melaporkan polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan seorang wanita berusia 53 tahun yang dilaporkan hilang sejak 8 Disember lalu.
Laporan kehilangan itu dibuat oleh ibu saudaranya di Balai Polis Ampang selepas mangsa gagal dihubungi dan tidak pulang ke rumah.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
