Teladan Pemimpin Lama: Inspirasi untuk Generasi Milenial

Oleh Dr Fauziah Hassan

KETIKA kepimpinan hari ini sering dinilai melalui populariti dan keterlihatan di media sosial, pemimpin terdahulu memimpin dalam senyap, namun meninggalkan kesan yang mendalam dan berkekalan.

Mengenali mereka bukan sekadar menghargai sejarah, tetapi juga menjadi asas penting untuk membentuk kefahaman dan memperkaya ilmu mengenai kepimpinan yang memberi impak.

Kisah perjuangan dan kebijaksanaan pemimpin lama menawarkan pelbagai teladan yang masih relevan untuk diaplikasikan dalam dunia yang semakin kompleks dan penuh halangan.

Pemimpin masa kini perlu terus memperkukuh ilmu, kemahiran dan kebijaksanaan demi membina masyarakat yang aman dan sejahtera.

Mengimbas kembali corak dan gaya kepimpinan terdahulu, para pemimpin membentuk kepimpinan mereka melalui proses yang menuntut kesabaran, kecekalan, pengalaman serta kebijaksanaan dalam membuat keputusan penting.

Mereka memimpin dalam keadaan yang serba terbatas, baik dari segi sumber, maklumat, sokongan, mahupun fasiliti yang berfungsi sebagai sistem sokongan.

Namun, keterbatasan tersebut tidak menghalang mereka daripada menghasilkan keputusan dan dasar yang berkesan; kesannya masih dirasai dan dinikmati oleh masyarakat hingga kini.

Hakikat ini membuktikan bahawa kekuatan kepimpinan tidak bergantung kepada kelengkapan semata-mata, tetapi pada nilai, kejelasan matlamat, dan keupayaan membuat keputusan yang berteraskan kebijaksanaan.

Jejak yang Mengilhamkan: Tokoh MUBARAK

Pengalaman pemimpin lampau wajar didokumenkan supaya dapat menjadi rujukan kepada pemimpin generasi masa kini dan masa depan. Maka, Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) yang ketuai Presiden, Tan Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman mengambil inisiatif memperkenalkan kaedah kepimpinan yang baik dan boleh diteladani melalui penerbitan buku Jejak Yang Mengilhamkan: Tokoh MUBARAK.

Buku ini menghimpunkan pengalaman, sumbangan, dan perjalanan hidup tokoh-tokoh yang pernah menabur bakti dalam arena kepimpinan politik sama ada peringkat nasional dan negeri.

Setiap tokoh membawa naratif unik; ada yang membina kerjaya dari bawah hingga ke puncak, ada yang dikenang kerana keberanian membuat keputusan. Namun, tidak kurang juga yang meninggalkan legasi perjuangan berlandaskan integriti serta semangat kebangsaan.

Sebagai sebuah organisasi yang mewakili bekas wakil rakyat, MUBARAK bukan sahaja menjadi simbol kesinambungan khidmat bakti, malah menjadi wadah untuk berkongsi idea, memelihara legasi kepimpinan, dan menyuntik inspirasi kepada generasi baharu.

Penerbitan buku ini adalah bukti penghargaan serta pengiktirafan terhadap jasa mereka yang mengabdikan diri demi agama, bangsa, dan negara.

Buku terbitan pertama MUBARAK ini dihasilkan dengan kerjasama sekumpulan ahli akademik Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM) dalam pelbagai bidang yang bertindak sebagai penulis.

Projek ini diselaraskan oleh Dato’ Dr. Abdul Latiff Hj Awang, Naib Presiden MUBARAK dan Profesor Dr. Mohd Yahya Mohamed Ariffin (USIM), yang juga Penasihat Bersama Editorial, Nasional Daily.

Setiap biografi bukan sekadar menceritakan riwayat hidup, tetapi turut menyingkap dimensi kepimpinan, nilai perjuangan, serta prinsip kehidupan yang wajar dijadikan teladan.

Dengan gaya bahasa tersusun dan temubual mendalam, buku ini berperanan sebagai karya rujukan akademik, bahan bacaan umum, dan sumber inspirasi yang mampu membimbing generasi pelapis menuju kepimpinan berintegriti.

Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad bergambar bersama kepimpinan MUBARAK, tokoh-tokoh dan pasukan penulis buku selepas peluncuran Jejak yang Mengilhamkan: Tokoh MUBARAK di Ipoh baru-baru ini.

Cabaran Kepimpinan Generasi Milenial

Landskap kepimpinan hari ini, yang diwarnai oleh Generasi Milenial, banyak dipengaruhi oleh perubahan teknologi, menjadikan mereka berdepan dilema dalam meningkatkan keterlihatan di platform digital.

Kehebatan mereka sebagai pemimpin terletak pada kemampuan beradaptasi dari kepimpinan berteraskan hierarki kepada kepimpinan terbuka, pantas, dan interaktif. Namun, pada masa sama, mereka berdepan halangan untuk mengekalkan prinsip dan integriti dalam persekitaran yang sentiasa berubah.

Tekanan untuk sentiasa kekal relevan dan diterima membuatkan pemimpin muda perlu bijaksana dalam mengimbangi antara keperluan membina imej dan tanggungjawab melaksanakan amanah dengan berkesan.

Media sosial turut mengubah cara kepimpinan dinilai dan difahami; sesuatu keputusan bukan sahaja dinilai berdasarkan hasil, tetapi juga bagaimana ia dipersepsikan khalayak.

Mengambil inspirasi daripada pemimpin lama dapat membantu mereka dalam membentuk dan mempengaruhi setiap keputusan serta dasar yang ingin diperkenalkan dan dimuktamadkan.

Teladan pemimpin lama menjadi rujukan penting untuk semua generasi, sama ada pemimpin milenial mahupun pempengaruh media sosial yang secara tidak langsung mempengaruhi minda remaja masa kini.

Nilai seperti integriti, kebijaksanaan, keikhlasan, dan kesedaran terhadap kesan jangka panjang tetap relevan merentas zaman. Sebenarnya, kepimpinan yang berkesan diukur melalui impak positif yang ditinggalkan kepada masyarakat, bukan jumlah pengikut atau populariti semata-mata.

Akhirnya, mempelajari kepimpinan tokoh terdahulu bukan bermaksud menolak perubahan atau kemajuan, sebaliknya sebagai panduan untuk membentuk masa depan yang seimbang.

Generasi pemimpin muda hari ini memerlukan lebih daripada kemahiran dan pengaruh; mereka memerlukan nilai dan prinsip kepimpinan yang terbukti mampu membina masyarakat berdaya tahan dan berintegriti.

Buku ini membuka jalan untuk mengenali pemimpin terdahulu serta menekankan kepentingan nilai kepimpinan yang kukuh untuk dipelajari dan diwarisi.

Dr Fauziah Hassan ialah Pensyarah Kanan, Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Nilai, Negeri Sembilan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *