BANGKOK – Tentera Thailand mengeluarkan arahan berpindah melibatkan penduduk dari kawasan sempadan di empat wilayah timur laut susulan pertempuran bersenjata dengan pasukan Kemboja di wilayah Si Sa Ket pada Ahad.
Menurut laporan Bangkok Post, pertempuran selama 35 minit itu tercetus pada jam 2.15 petang waktu tempatan di kawasan Phu Pha Lek–Phlan Hin Paet Kon apabila tentera Kemboja didakwa melepaskan tembakan ke arah pasukan Thailand.
Tentera Thailand kemudian membalas serangan sebelum pertempuran tamat pada jam 2.50 petang.
Dua anggota tentera Thailand, Sarjan Anuchart Rueankham cedera di kaki akibat terkena tembakan, manakala Prebet Pornchai Champachum mengalami lebam di dada selepas serangan mengenai jaket kalis peluru.
Susulan insiden, Wilayah Tentera Kedua Thailand mengeluarkan arahan pemindahan penduduk di wilayah Buri Ram, Surin, Si Sa Ket dan Ubon Ratchathani atas faktor keselamatan selain kemungkinan konflik berlarutan.
Penduduk diminta berpindah ke pusat perlindungan yang telah ditetapkan.
Ketegangan ini berlaku hanya beberapa hari selepas Thailand menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyiasat penggunaan periuk api oleh Kemboja di kawasan sempadan Thailand, yang sebelum ini mencederakan beberapa anggota tentera Thailand dan seorang warga China.
Pihak berkuasa keselamatan Thailand kini memantau rapi situasi di sempadan dan menasihatkan penduduk agar terus berada di kawasan perlindungan sehingga keadaan benar-benar selamat.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001