PUTRAJAYA – Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Muafakat Nasional (MN), Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, menggesa Yahoo Finance mengemukakan bukti berhubung laporan portal itu yang didakwa menyenaraikan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai antara 10 pemimpin terkaya dunia.
Menurut beliau, laporan tersebut dianggap sebagai satu bentuk serangan peribadi terhadap bekas Perdana Menteri itu, yang menurutnya berlaku ketika Dr. Mahathir lantang mengkritik Amerika Syarikat (AS) dalam beberapa isu antarabangsa.
Dakwanya, laporan Yahoo Finance telah digunakan oleh pihak tertentu untuk menimbulkan persepsi negatif terhadap Dr. Mahathir, termasuk dalam kes saman fitnah RM150 juta yang sedang berlangsung antaranya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya menggesa pihak terlibat mengemukakan apa-apa bukti sekiranya dakwaan kekayaan tersebut benar.
“Saya juga sarankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapatkan maklumat daripada Yahoo Finance bagi mengelakkan pembaziran kos siasatan ke luar negara,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Khairuddin turut menyifatkan dakwaan mengenai kekayaan Dr. Mahathir sebagai tidak berasas dan menegaskan rakyat Malaysia mampu menilai laporan sedemikian.
Sehingga kini, Yahoo Finance belum mengeluarkan kenyataan balas berhubung kritikan tersebut. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
