Lelaki mengaku salah serang wartawan veteran Haresh Deol

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki berusia 37 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan menyerang wartawan veteran, Haresh Deol, di Bangsar, ibu negara awal minggu ini.

R Krishnan yang juga merupakan seorang penghantar barang membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Illi Marisqa Khalizan hari ini.

Menurut kertas pertuduhan, tertuduh bersama seorang lagi suspek yang masih bebas didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Haresh Singh Chain Singh di hadapan bangunan Tanjung Balai Group, Jalan Telawi 3, pada kira-kira jam 3.32 petang, 5 November lalu.

Bapa enam anak itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun, denda atau kedua-duanya sekali, lapor Astro Awani.

Timbalan Pendakwa Raya, Hench Goh, memohon mahkamah menetapkan tarikh lain untuk hukuman dan mencadangkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin.

Peguam Mohamad Salihen Mastor pula merayu jaminan minimum kerana anak guamnya adalah penanggung tunggal keluarga.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Januari sebagai tarikh hukuman.

Pada Selasa lalu, dilaporkan Haresh yang juga Naib Presiden National Press Club dan pengasas organisasi berita Twentytwo13 diserang dua lelaki berpakaian hitam di Bangsar.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *